Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah bongkak, pemilik 'rumah baru' eloklah berhati-hati - Tun Faisal
Diterbitkan:  Apr 12, 2026 12:21 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin berhubung isu “rumah” politik sebagai mencerminkan sikapnya yang bongkak.

Ini selepas Ketua Pembangkang itu menyindir pihak yang mendakwa dia tidak mempunyai sokongan dan berlegar-legar mencari ‘rumah baru’ selepas dipecat daripada Bersatu.

“Yang kata saya berlegar-legar ini apa? Engkau yang kecil berlegar-legar itu rasalah sedar diri sikit,” kata Hamzah seperti dilaporkan media semalam.

Mengulas perkara itu, Tun Faisal berkata banyak pihak berasa keliru dengan kenyataan tersebut, selain menggambarkan sikap angkuh Hamzah.

"Bila dengar kenyataan angkuh dan bongkak Hamzah ini, ramai yang confused sekejap, siapa sebenarnya yang ada rumah, siapa sebenarnya yang gelandangan, siapa yang hanya ada jumlah pengikut yang kecil berbanding ratusan ribu ahli Bersatu?

"Siapa sebenarnya yang sedang mencari rumah, siapa pula yang kata, dia tidak kisah masuk "Rumah orang lain, asalkan ada rumah?" katanya dalam kenyataan.

Semalam Hamzah turut dilaporkan berkata, dia tidak menolak kemungkinan bersama 18 ahli parlimen yang menyokong agenda 'Reset' bergabung dengan sebuah parti besar sedia ada sebagai wadah politik.

Sebelum ini, dia memberi bayangan bahawa parti yang bakal disertai kekal berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu Tun Faisal 'menasihati' pemilik rumah baru supaya berhati-hati jika mahu menerima bekas timbalan presiden Bersatu itu.

"Eloklah dipesan kepada Hamzah dan pengikutnya, masuk rumah orang, jangan sampai lupa diri, hingga nak jadikan rumah orang macam rumah sendiri dan buat gerakan untuk halau tuan rumah yang asal pula nanti. Jangan ulang perangai yang sama macam yang dibuat semasa dalam Bersatu.

"Kedua, eloklah dipesan kepada pengikut Hamzah, masuk rumah orang lain, jangan rakus nak jadikan Hamzah sebagai Presiden dan jangan berbalah sebab nak bertanding dalam pilihanraya pula. Orang dalam rumah tu pun masih ramai yang nak bertanding. Silap-silap yang dapat bertanding nanti hanya Hamzah seorang sahaja.

"Ketiga, masuk rumah orang, jangan pula jadi macam Zionis, sibuk nak 'rampas tanah orang lain' pula untuk bertanding. Dalam rundingan mana-mana gabungan, baik PH, BN dan MN, ada aturannya.

"Kepada pemilik rumah, berhati-hatilah. Geng SD (Akuan Bersumpah) ini tidak peduli melanggar perlembagaan dan disiplin parti, memaki hamun Presiden dan pemimpin parti, membuat kacau dalam Perhimpunan Agung parti, membuat 'live' hampir setiap malam dan membuat sidang media mencemarkan imej parti demi hendak mengangkat seorang individu menjadi Presiden," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS