Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tahanan warga Pakistan bolos dari penjara dipercayai masih dalam negara

Tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, Selangor Khamis lepas, dipercayai masih berada di dalam negara.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata usaha mengesan suspek, Muhammad Hassan, 24, kini giat dijalankan dengan tumpuan pencarian dilakukan di seluruh negara.

"Suspek masih belum ditangkap, polis masih dalam tindakan mencari dan mengesan lelaki tersebut. Skop pencarian suspek masih dalam negara," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pemeriksaan di semua pintu sempadan negara diperketatkan bagi mengelakkan suspek melarikan diri ke luar negara.

Lelaki itu melarikan diri daripada kawalan polis di Padang Kawad Penjara Sungai Buloh pada 6 petang selepas menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.

Suspek yang berdepan pertuduhan berkaitan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak serta kesalahan imigresen itu, kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan seluar panjang hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhendran Chandra menerusi talian 010-4304383 atau Hotline Bilik Operasi Search and Capture (SAC) 03-61401096.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS