Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rakam keterangan remaja disyaki baling batu dari tingkat 13 PPR

Polis merakam keterangan seorang remaja lelaki yang dipercayai membaling seketul batu dari tingkat 13 sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Desa Petaling, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud berkata remaja tempatan berusia 13 tahun itu hadir ke balai polis bersama-sama ibu bapanya bagi membantu siasatan selepas insiden tersebut tular di media sosial.

“Siasatan awal mendapati remaja lelaki dipercayai membaling batu dan kerusi plastik ke bawah blok tersebut sehingga menimbulkan kegusaran serta kebimbangan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata tiada sebarang kecederaan berlaku dalam insiden itu.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 30 saat memaparkan seorang remaja lelaki berjalan di laluan pejalan kaki sebuah pangsapuri mencampakkan objek dipercayai batu ke bawah tular di media sosial.

Dalam kes berasingan, Mohd Rosdi berkata polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Pekan Sungai Besi, Selasa lepas.

Beliau berkata kejadian berlaku pada 6.23 pagi apabila kereta Perodua Axia dinaiki tiga lelaki bertindak memecut selepas diarahkan untuk berhenti oleh anggota bertugas di Jalan Suasa 6, Sungai Besi.

“Semasa meloloskan diri, kenderaan suspek melanggar dua kenderaan orang awam di kawasan perumahan sebelum dipintas unit rondaan Balai Polis Sungai Besi dengan bantuan unit Unit Kereta Peronda (MPV) di kawasan Kampung Pandan, Ampang,” katanya.

Mohd Rosdi berkata pemeriksaan mendapati suspek warga Indonesia berusia 53 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta tiada lesen memandu dan usaha mengesan dua lagi rakannya kini giat dijalankan.

Beliau berkata suspek direman 14 hari bermula Selasa lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS