Seorang lelaki warga emas maut dipercayai dipijak gajah liar dalam kejadian di Ladang Begahak 2, Jalan Tungku, Lahad Datu semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang berusia 69 tahun itu dilaporkan sedang menutup pagar kebun bersama anak lelakinya sebelum diserang haiwan liar tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Jimmy Panyau berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama anaknya berusia 38 tahun berada di kebun kelapa sawit berkenaan sebelum didatangi seekor gajah liar secara tiba-tiba.
“Anak mangsa sempat melarikan diri dan menjerit meminta pertolongan serta cuba mengalih perhatian haiwan itu, namun mangsa tidak sempat menyelamatkan diri lalu dipijak.
“Tidak lama kemudian, gajah tersebut yang dipercayai bergerak secara bersendirian beredar dari kawasan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata selepas kejadian itu, anak mangsa segera mendapatkan bapanya dan membawanya ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di hospital. Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang betis dan tulang rusuk,” katanya.
Jimmy berkata kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Penolong Ketua Polis Balai Tungku di talian 017-8293359 atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Dalam pada itu, Jimmy turut menasihatkan penduduk khususnya di kawasan Tungku agar sentiasa berwaspada dengan kehadiran gajah liar dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
- Bernama
