Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara 37 individu ditahan kerana positif dadah dalam satu operasi khas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam semalam.
Pengarah AADK Kedah Md Razif Wan berkata dalam operasi yang dijalankan bermula Sabtu hingga petang semalam, seramai 47 orang telah menjalani ujian saringan air kencing.
“Daripada jumlah itu, 37 orang didapati positif dadah dan kebanyakannya adalah golongan belia,” katanya kepada pemberita di Bukit Kayu Hitam hari ini.
Dia berkata bagi kes pertama, seorang lelaki calon SPM bersama kakaknya berusia 21 tahun ditahan sebaik pulang dari Danok, Thailand selepas menghadiri pesta Songkran di sana.
“Hasil ujian mendapati kakak positif tiga jenis dadah iaitu methamphetamine, MDMA dan ketamin, manakala adiknya yang merupakan calon SPM tahun ini positif ketamin,” katanya.
Md Razif berkata pasangan adik- beradik itu mengaku mengambil bahan tersebut sekadar ingin mencuba, namun kini berdepan tindakan lanjut selepas ditahan pihak berkuasa.
Dia berkata AADK percaya mereka terdedah kepada bahan terlarang itu selepas disyaki menghisap rokok yang dipercayai mengandungi dadah ketika menghadiri pesta Songkran di negara berkenaan.
“Seorang lagi calon SPM – juga lelaki – ditahan selepas ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis ketamin, bersama rakannya berusia 22 tahun di sekatan jalan raya AADK di kompleks sama.
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.
Md Razif turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan remaja agar tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti berisiko ketika berada di luar negara.
Menurutnya AADK akan terus memperkasakan pendidikan pencegahan dalam usaha mengekang trend penglibatan remaja bawah umur, sekali gus memutuskan rantaian penagih baharu.
- Bernama
