Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak rayuan Unisel, tuntutan pesara RM209,000 dikekalkan

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Universiti Selangor (Unisel) untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung tuntutan faedah persaraan oleh bekas kakitangannya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nurul Huda Yahaya yang merupakan peguam kepada responden, Mohd Nasir Saadon berkata bahawa panel tiga hakim yang diketuai Abu Bakar Jais, bersama Noorin Badaruddin dan Dr Shahnaz Sulaiman, sebulat suara menolak notis usul yang difailkan Unisel terhadap anak guamnya.

"Mahkamah turut memerintahkan Unisel membayar kos sebanyak RM30,000 kepada responden.

"Keputusan hari ini membuktikan bahawa hak kakitangan yang telah dijanjikan melalui pekeliling mestilah dilaksanakan.

"Ia adalah satu pengiktirafan kepada titik peluh pesara yang telah berkhidmat sejak awal penubuhan universiti," kata Nurul Huda.

Untuk rekod, pada 4 Jun 2025, Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan tuntutan sebanyak RM209,937.59 oleh Mohd Nasir terhadap Unisel berkenaan bayaran faedah persaraan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen, Unisel memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mana kemudiannya pada 18 Dis 2025 mahkamah telah membuat keputusan menolak rayuan Unisel dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Unisel kemudiannya telah memfailkan Notis Usul di Mahkamah Rayuan pada 16 Jan 2026 untuk memohon kebenaran merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dan telah ditetapkan untuk pendengaran pada hari ini.

Mengikut Seksyen 68(1)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kebenaran merayu diperlukan bagi kes yang melibatkan nilai tuntutan di bawah RM250,000.

Isu ini bermula daripada pertikaian skim faedah persaraan di bawah Pekeliling Bil 14/2006, yang didakwa cuba dibatalkan secara sepihak oleh pengurusan universiti milik kerajaan negeri Selangor itu.

Mohd Nasir memulakan tindakan undang-undang selepas Unisel gagal membayar faedah persaraan yang dijanjikan kepada kakitangan yang dilantik sebelum tahun 2012.

Dalam prosiding hari ini, Unisel diwakili peguam Mohamed Ibrahim Mohamad dan Nor Aziah Harun. Manakala, selain Nurul Huda Mohd Nasir diwakili S Mariappen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS