Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful gesa kerajaan beri moratorium sewa MyKiosk 6 bulan
Diterbitkan:  Apr 14, 2026 1:12 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mencadangkan supaya kerajaan memberikan moratorium sewa MyKiosk selama enam bulan bagi meringankan beban kos sara hidup yang menimpa penjaja kecil dan mikro di seluruh negara.

Katanya, cadangan itu dikemukakan susulan tekanan ekonomi semasa yang dipacu oleh kenaikan harga bahan api, kos logistik, serta peningkatan harga bahan mentah yang memberi kesan langsung kepada margin keuntungan peniaga.

"Minggu lalu saya bertemu kumpulan penjaja kecil Tasek Gelugor.

“Luahan hati mereka menunjukkan mereka benar-benar terkesan apabila margin keuntungan yang memang sudah kecil menjadi semakin kecil dalam suasana ketidaktentuan ekonomi hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MyKiosk diwujudkan bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.

Projek ini mencapai pelaksanaan penuh pada akhir 2024 dengan penyerahan MyKiosk 1.0 dengan kos unit sekitar RM15,000.

MyKiosk diselia oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sewaan tidak melebihi RM300 dan pengecualian sewa pula diberikan selama enam bulan pertama pelaksanaannya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menjelaskan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), wajar mempertimbangkan moratorium sewa MyKiosk selama enam bulankerana implikasi fiskalnya dianggap kecil berbanding kos keseluruhan pembangunan projek.

Berdasarkan anggarannya, dengan 7,243 unit kiosk di seluruh negara dan kadar sewa antara RM200 ke RM300 sebulan, kos bantuan tersebut dianggarkan hanya melibatkan antara RM8.6 juta hingga RM13 juta.

"Jika dibandingkan dengan keseluruhan kos pembangunan program MyKiosk yang mencecah sekitar RM150 juta, jumlah bantuan yang saya cadangkan ini adalah kecil.

“Namun ia boleh memberi kelegaan kepada ribuan penjaja kecil," kata Wan Saiful .

Tambahnya, moratorium ini merupakan langkah bantuan bersasar sementara yang dapat memberi ruang kepada peniaga mikro untuk menstabilkan aliran tunai dan operasi mereka dalam keadaan ekonomi yang mencabar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS