GLOBAL | Perbicaraan kedua yang melibatkan pasukan perubatan Diego Maradona bermula hari ini, lima setengah tahun selepas kematian legenda bola sepak Argentina tersebut.
Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan, tujuh doktor dan penjaga hadir di mahkamah San Isidro, utara Buenos Aires.
Prosiding itu dijangka berlangsung selama beberapa bulan. Mahkamah menetapkan prosiding berlangsung dua hari seminggu pada peringkat awal dengan kira-kira 90 saksi akan dipanggil memberi keterangan.
Pendakwa raya menuduh doktor peribadi Maradona, Leopoldo Luque; pakar psikiatrinya, Agustina Cosachov; seorang ahli psikologi; seorang lagi doktor; penyelaras perubatan syarikat insurans kesihatan; serta dua penjaga atas tuduhan membunuh tanpa niat.
Kesemua mereka menafikan dakwaan itu.
Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun.
Satu perbicaraan berasingan turut diadakan terhadap seorang lagi jururawat.
Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah kompleks kediaman persendirian pada 25 Nov 2020. Dia berusia 60 tahun ketika itu.
Beberapa minggu sebelum itu, dia menjalani pembedahan otak.
Penyiasat percaya berlaku kesilapan serius dalam penjagaan di rumah terhadap juara Piala Dunia1986 itu.
Kes berkenaan terpaksa dimulakan semula selepas perbicaraan pertama dibatalkan pada Mei tahun lalu di sebalik ia berlangsung selama 21 hari.
Prosiding dihentikan selepas seorang daripada tiga panel hakim digantung tugas susulan penglibatan tanpa izin dia dalam sebuah dokumentari mengenai perbicaraan berkenaan.
- Bernama/dpa
