Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mencadangkan agar semua mahkamah syariah di negara ini melaksanakan prosiding sebutan kes secara dalam talian sebagai langkah proaktif mendepani krisis tenaga global yang sedang melanda kini.
Presidennya, Musa Awang, berkata cadangan itu dikemukakan sebagai langkah penjimatan dan membantu mengurangkan beban tenaga, susulan krisis tenaga global yang masih berterusan dan dijangka berpanjangan
"PGSM mencadangkan dan menyeru kepada mahkamah syariah seluruh negara untuk mengambil inisiatif bagi menjalankan prosiding sebutan kes secara dalam talian yang membabitkan penglibatan masyarakat awam dan peguam syarie.
"Bagaimanapun, prosiding perbicaraan, keputusan atau Majlis Sulh boleh diteruskan secara fizikal seperti biasa.
"Dari sudut undang-undang syariah, prosiding secara dalam talian atau melalui teknologi komunikasi jarak jauh boleh dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Musa, pelaksanaan itu boleh difokuskan terlebih dahulu di kawasan berimpak tinggi yang sering mengalami kesesakan lalu lintas sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
"Fokus awal boleh dimulakan di kawasan seperti Lembah Klang, ibu-ibu negeri dan bandar-bandar utama lain yang mempunyai kepadatan trafik tinggi.
"Ini bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah memberi keseimbangan kepada peguam syarie dan orang awam dalam menguruskan kes di mahkamah," jelasnya.
Mengulas mengenai aspek perundangan, Musa menegaskan prosiding melalui teknologi komunikasi jarak jauh adalah selari dengan undang-undang sedia ada.
Untuk mengukuhkan gesaan itu, Musa memetik Seksyen 40A, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Pindaan 2024) yang memberi kuasa kepada hakim atau pendaftar untuk menentukan prosiding kes mal dijalankan melalui teknologi jarak jauh.
Selain itu, katanya, Seksyen 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2022) pula katanya, mentakrifkan "hadir" merangkumi kehadiran secara maya melalui teknologi komunikasi atas arahan mahkamah.
Pada masa sama PGSM menjelaskan prosiding lain melibatkan perbicaraan, keputusan, dan Majlis Sulh perlu diteruskan secara fizikal seperti biasa bagi menjamin integriti proses keadilan.
"Pelaksanaan ini diharap dapat membantu mengurangkan beban tenaga, selain memberi keseimbangan dan memastikan kelangsungan kehidupan kepada masyarakat awam dan peguam syarie yang terlibat, serta sebagai sebahagian langkah strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat," katanya lagi.
