Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Misi tawan 40 kerusi: Amanah juga intai Putrajaya, Titiwangsa
Diterbitkan:  Apr 16, 2026 11:36 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Amanah secara terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding di 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, berkata, ia sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh kedudukan parti.

“Kita sasar lebih kurang dalam 40 kerusi dan insya-Allah kita akan usahakan,” katanya.

Dia yang juga adalah pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan mengakui parti itu sedang mengintai kerusi Putrajaya, di Titiwangsa dan Labuan di Wilayah Persekutuan.

“Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, kami menyasarkan untuk bertanding di lebih banyak kerusi berbanding PRU15.

“Kalau kita bertanding atas nama PH dan ia merupakan pertandingan tiga penjuru, maka kita harapkan bahawa Amanah akan dapat bertanding di paling kurang tiga ataupun empat kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada wartawan di Putrajaya, malam tadi.

Kerusi Putrajaya merupakan kubu kuat BN sehingga Perikatan Nasional (PN) merampasnya pada PRU 2022.

Pada pilihan raya itu, wakil Bersatu, Radzi Jidin merampas Parlimen Putrajaya daripada penyandangnya dari BN, Tengku Adnan Tengku Mansor. PH diwakili oleh calon daripada PKR.

Sambil mengakui Putrajaya mempunyai keunikan dari segi komposisi pengund, katanya anggota kerajaan juga kini yakin percaya dengan prestasi kerajaan perpaduan hari ini ini.

“Saya yakin prestasi kerajaan ini dapat diterjemahkan kepada sokongan pengundi, khususnya dalam kalangan penjawat awam,” katanya.

Kerusi Parlimen Titiwangsa pula dirampas oleh Johari Abdul Ghani yang mewakili BN daripada PH yang diwakili oleh Khalid manakala Labuan pula dimenangi oleh Suhaili Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, dia berharap parti sekutu PH, khususnya PKR dan DAP dapat memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Khalid berkata, buat masa ini, pihaknya telah menyenarai pendek nama calon bagi ketiga-tiga kerusi itu dan akan dimuktamadkan kelak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS