Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Muralnya lenyap diroboh, jasadnya terbiar 50 hari tak dituntut’
Diterbitkan:  Apr 16, 2026 1:23 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Bekas banduan Khong Yen Chong, yang mencipta nama dalam Buku Rekod Guinness untuk mural yang dilukisnya di dinding Penjara Pudu - yang kini telah dirobohkan - meninggal dunia 20 Februari lalu pada usia 78 tahun.

Namun, lebih menyedihkan, jasadnya tidak dituntut di rumah mayat Hospital Pulau Pinang selama 50 hari.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan akhirnya diberikan kebenaran pada 10 April untuk menuntut jasadnya.

Susulan itu pelbagai pihak tampil bersama menganjurkan upacara penghormatan terakhir bagi menghormatinya. Semalam, upacara pembakaran jasad Khong akhirnya dituntaskan.

Bercakap kepada Sin Chew Daily, rakannya Wu Kai Min, 70, berkata Khong telah mencipta rekod itu selepas menjadi artis pertama yang menyiapkan keseluruhan mural penjara seorang diri.

“Kakitangan (di rumah mayat) memberitahu saya bahawa jasadnya adalah yang paling lama (yang tidak dituntut). Biasanya, dalam masa dua atau tiga minggu, seseorang menuntut jasad. Tetapi baginya, tiada siapa yang datang selama 50 hari.

“Kehidupan Khong penuh dengan pasang surut. Dia memecahkan rekod dalam hidup, dan selepas kematian, dia ‘memecahkan rekod lain’,” tambahnya.

Menurut Wu, Khong mempunyai seorang anak lelaki tetapi tidak dapat dihubungi.

Wu melahirkan rasa kesal kerana masyarakat cenderung mengingati titik hitam seseorang pada masa lalu dan mengabaikan pencapaian mereka.

“Walaupun dia pernah mencipta rekod dunia, ia jarang disebut. Pada tahun-tahun terakhirnya, dia hidup dalam kesusahan dan terpaksa bergantung pada sokongan daripada gereja,” tambahnya.

Wu, yang bertemu Khong di gereja kira-kira lima tahun yang lalu, berkata dia mengambil inisiatif untuk mengendalikan upacara pengurusan jasad Khong itu kerana janji yang telah dibuatnya.

“Khong pernah memberitahu saya bahawa jika suatu hari nanti dia tiada, dia berharap saya akan menguruskan semuanya. Saya setuju,” katanya.

Pada tahun 1984, Khong mencipta mural setinggi 266.1 meter itu, yang menjadi terkenal kerana ciri realismenya. Walau bagaimanapun, mural yang dibanggakannya itu lenyap apabila penjara itu dirobohkan pada Jun 2010.

Dia mengambil masa satu tahun sembilan bulan untuk menyiapkan mural itu. Dia menyiapkan lukisan itu sehari sebelum pembebasannya daripada penjara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS