Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gunung Marapi dan Semeru di Indonesia meletus
Diterbitkan:  Apr 16, 2026 2:15 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Gunung Marapi di Sumatera Barat meletus pada pagi Khamis, memuntahkan abu setinggi 1.6 kilometer ke udara, manakala Gunung Semeru di Jawa Timur merekodkan beberapa kejadian letusan pada hari sama, menandakan peningkatan aktiviti gunung berapi di seluruh kepulauan Indonesia.

Gunung Marapi meletus pada 8.43 pagi waktu tempatan dengan memuntahkan abu berwarna kelabu yang bergerak ke arah timur laut, sementara pihak berkuasa mengesahkan beberapa letusan turut berlaku di Gunung Semeru lebih awal pada hari berkenaan. 

“Abu berwarna kelabu dengan keamatan sederhana,” kata pegawai Pos Pemerhatian Gunung Marapi (PGA) Ilhamdi Saputra, menurut Agensi Berita ANTARA. 

Gunung Marapi, dengan ketinggian 2,891 meter dari aras laut dan terletak di sempadan Kabupaten Agam serta Tanah Datar di Sumatera Barat, kini berada pada Tahap Waspada II.

Sementara itu, Gunung Semeru, gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa dengan ketinggian 3,676 meter meletus sekurang-kurangnya lima kali antara 5.11 pagi hingga 7.32 pagi waktu tempatan.

Pegawai Pos Pemerhatian Semeru, Liswanto, berkata letusan paling kuat pada 6.21 pagi menghamburkan abu setinggi 1,200 meter dari puncak, dengan awan abu bergerak ke arah timur laut.

Letusan berikutnya memuntahkan abu antara 500 meter hingga 1,100 meter, dengan kepulan abu bergerak ke beberapa arah termasuk timur laut dan utara.

Gunung Semeru kekal pada Tahap Amaran III. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS