Malaysia tidak memandang ringan cabaran seteru utama, Thailand yang dijangka mempamerkan kebangkitan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, di Kuala Lumpur, dari 16 hingga 23 Mei.
Ketua Jurulatih Kebangsaan Ahmad Jais Baharun berkata berdasarkan senarai awal skuad ke Piala Dunia, Thailand dilihat mengekalkan hampir 70 peratus pemain lama dengan baki senarai dijangka dimuktamadkan hujung bulan ini.
Beliau berkata skuad Gajah Putih itu juga dijangka hadir memburu kebangkitan bagi memulihkan reputasi yang tercalar selepas kegagalan pada Sukan SEA di laman sendiri tahun lepas.
“Saya percaya pasukan Thailand sudah semestinya ingin mencipta kejutan di Kuala Lumpur selepas tewas pada saingan Sukan SEA sebelum ini.
“Kita pula sentiasa memberikan tumpuan kepada kejohanan ini supaya dapat meneruskan momentum kejayaan (Sukan SEA) pada Piala Dunia kali ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Undian Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia, di Kuala Lumpur.

Pada majlis undian itu semalam, Malaysia dan Thailand tidak diundi dalam kumpulan yang sama bagi acara regu, regu berpasukan dan kuadran Divisyen Premier, sekali gus berkemungkinan bertemu pada pentas final sekiranya masing-masing menjuarai saingan kumpulan.
Malaysia ketika ini dilihat sebagai pasukan pilihan pada Piala Dunia kali ini, terutama selepas kejayaan meraih pingat emas dalam acara regu berpasukan dengan menewaskan Thailand serta acara regu, yang menewaskan Vietnam pada Sukan SEA lepas.
Sementara itu, mengulas mengenai persiapan, Ahmad Jais berkata skuad negara kini menumpukan kepada analisis prestasi lawan bagi menilai kekuatan dan kelemahan, sebelum menentukan kombinasi pemain terbaik.
Beliau turut yakin kelebihan beraksi di laman sendiri serta sokongan penyokong tempatan mampu membantu pasukan negara mengekalkan momentum dan mencapai kejayaan.
“Saya percaya bahawa sokongan, dukungan daripada semua peminat sepak takraw tanah air khususnya, akan memberi sedikit kelebihan kepada pasukan negara dalam memperbaiki prestasi dan mencapai kejayaan nanti,” katanya.
Pada Piala Dunia 2024 yang turut dianjurkan di Kuala Lumpur, Malaysia muncul juara acara regu dan beregu Divisyen Premier, manakala Thailand merangkul kejuaraan regu berpasukan Divisyen Premier.
- Bernama
