Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025.
Dividen ini akan memanfaatkan sejumlah 783,324 anggota yang akan mula dibayar bermula hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata jumlah pembayaran tersebut adalah yang tertinggi sejak 10 tahun yang lepas.
“Prestasi kewangan yang memberangsangkan ini membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai penghargaan kepada semua anggota dan pihak berkepentingan Bank Rakyat untuk sokongan berterusan mereka,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan dividen Bank Rakyat hari ini.
Mengulas mengenai prestasi kewangan bank tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.9 bilion bagi tahun kewangan 2025, dengan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 4.2 peratus (RM75.8 juta) berbanding RM1.8 bilion pada tahun sebelumnya.
"Keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi ini dicapai melalui asas kukuh kumpulan serta tumpuan terhadap aktiviti teras, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik.
"Pada masa sama, Kumpulan kekal berwaspada dalam menghadapi prospek ekonomi global yang tidak menentu dan persekitaran perbankan yang mencabar," kata Ahmad Shahril.
Beliau berkata prestasi memberangsangkan ini juga dipacu oleh pertumbuhan kukuh jumlah aset, meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada RM131.0 bilion.
Peningkatan ini didorong oleh tawaran menarik dalam segmen pembiayaan runcit, penekanan lebih kukuh kepada pendapatan bukan berasaskan dana, pendigitalan yang dipercepat untuk menembusi pasaran golongan berpendapatan sederhana tinggi serta peningkatan kualiti aset secara keseluruhan.
"Pendapatan utama Kumpulan meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada RM6.8 bilion didorong oleh pertumbuhan kukuh baki pembiayaan kasar sebanyak 8.6 peratus kepada RM93.3 bilion, melebihi purata industri," kata beliau.
Ahmad Shahril juga berkata dengan kejayaan pelaksanaan pelan strategik Bank Rakyat 2025, Kumpulan telah merealisasikan sepenuhnya manfaat daripada kepelbagaian portfolionya, khususnya dalam segmen perbankan perniagaan serta segmen pembiayaan bercagar seperti Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pajak Gadai-i.
Selain itu, katanya, strategi deposit kumpulan dan usaha yang bersasarkan deposit kos rendah turut menyumbang kepada peningkatan Akaun Semasa-i, Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i (CASAIA) sebanyak 15.2 peratus kepada RM12.4 bilion, mengukuhkan Nisbah CASAIA sebanyak 129 mata asas kepada 14.4 peratus.
Prestasi kumpulan yang mampan ini juga disokong oleh peningkatan pendapatan operasi lain sebanyak 30.8 peratus atau RM221.0 juta kepada RM938.4 juta, mencerminkan usaha berterusan Kumpulan dalam mempelbagaikan sumber pendapatan, kata Ahmad Shahril.
- Bernama
