Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Brickfields gempar! 15kg emas bernilai RM9.7 juta lesap dalam 3 minit

Empat lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol melarikan kira-kira 15 kilogram emas bernilai RM9.7 juta dalam rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, suspek turut melarikan sepucuk senapang patah milik pengawal keselamatan premis itu bersama sebutir peluru.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dan bersenjata.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau balai polis yang berdekatan.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi kira-kira tiga minit memaparkan suspek yang bertopi keledar hitam menyerbu premis berkenaan dengan membawa tukul besi dan senjata api.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS