Keluarga PN dijangka bertambah besar jika gabungan pembangkang itu bersepakat menerima parti-parti baru seawal dua minggu lagi.
Walaupun enggan mendedahkan identiti parti terbabit, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata permohonan untuk bergabung dengan mereka tidak sekadar Pejuang dan Berjasa.
Dia juga berharap pemimpin parti komponen PN bersikap terbuka dengan permohonan yang akan dipertimbangkan nanti.
Buat masa ini, katanya, PN sedang menunggu maklumat lanjut yang diperlukan oleh mereka daripada parti-parti terbabit.
Dia yang juga Menteri Besar Terengganu menambah, ada beberapa parti yang menyatakan minat masing-masing untuk menjadi anggota baru PN.
“Memang kita (PN) ada menerima permohonan daripada parti yang dinyatakan itu (Pejuang dan Bersaja) termasuk daripada beberapa parti lain.
“Kita hantar nota kepada parti-parti ini untuk mendapatkan maklumat tambahan dari segi jumlah keahlian, struktur parti dan jawatankuasa supaya kita lebih memahami sebelum pertimbangan dibuat,” katanya seperti dipetik Harakahdaily di Kuala Terengganu semalam.
Penyertaan baru anggota PN menjadi perhatian ramai, khususnya ekoran pemecatan Hamzah Zainudin oleh Bersatu. Bagaimanapun Ahli Parlimen Larut itu masih berteka-teki tentang langkah lanjutnya.
Elak singgung perasaan
Turut menjadi perhatian sebelum ini ialah dakwaan permohonan yang diterima daripada MIC dan disahkan oleh Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan pada 17 Mac lalu.
Bagaimanapun MIC menafikan hal tersebut.
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, memberitahu parti itu belum mengemukakan permohonan rasmi, sebaliknya sekadar bertanya maklumat lanjut kepada PN.
"Kami cuma tanya apa tawaran yang akan diberikan kepada kami.
"Selain itu, MIC sudah jelaskan bahawa jawatankuasa kerja pusat (CWC) akan memutuskannya selepas mesyuarat agung tahunan nanti.
"Namun, sehingga hari ini, MIC belum buat sebarang keputusan," katanya.

Ahmad Samsuri berkata semua permohonan yang diterima akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN sebelum sebarang keputusan diambil kemudian.
“Insya-Allah dalam mesyuarat pimpinan tertinggi yang akan datang kita akan bincangkan permohonan itu dan kalau tidak ada apa-apa, kita boleh terima permohonan mereka,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS memberitahu PN tidak bercadang mendedahkan nama parti yang terbabit bagi mengelak sebarang salah faham.
“Saya tidak mahu sebut nama (parti berkenaan) kerana kalau esok tidak diluluskan mungkin akan menyinggung perasaan pihak berkenaan.
“Tetapi PN berharap semua anggota majlis pimpinan tertinggi mempunyai fikiran terbuka demi memperkukuhkan PN dengan penyertaan parti-parti yang pelbagai dalam negara ini,” katanya.
