Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mematahkan cubaan menyeludup empat kontena berisi sayap ayam yang tidak diisytiharkan di Pelabuhan Sepanggar, kelmarin.
Rampasan yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu dianggarkan bernilai sekitar RM1.5 juta.
Komander AKPS Dermaga Kota Kinabalu, Shahrizan Ibrahim, berkata pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 2.10 petang di kawasan pemeriksaan kastam (CEA) pelabuhan tersebut hasil daripada maklumat awal yang diterima pihaknya.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas keempat-empat kontena tersebut menemui muatan sayap ayam seberat 80,000 kilogram.
"Siasatan awal mendapati dagangan tersebut tidak selaras dengan apa yang diisytiharkan dalam dokumen import.
"Ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengisytiharan tidak betul serta menyimpan barang larangan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Operasi tersebut turut disaksikan oleh wakil operator pelabuhan serta ejen perkapalan bagi memastikan prosedur pemeriksaan mengikut protokol yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Shahrizan berkata kes itu kini dalam siasatan lanjut sebelum tindakan penguatkuasaan seterusnya diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
"AKPS komited memastikan kawalan sempadan negara sentiasa terpelihara serta membanteras sebarang bentuk penyelewengan dagangan di pintu masuk negara," katanya.
