PKR Cabang Batu sebulat suara mengusulkan Timbalan Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar, sebagai calon bagi kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekiranya ketua cabang tidak dipilih bertanding.
Ketua Cabang PKR Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi (gambar bawah) berkata usul tersebut dibawa oleh ahli cabang dan diluluskan tanpa bantahan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Batu semalam.
"Sejak tahun 2008 sehingga 2022, kerusi tersebut lazimnya ditandingi oleh individu yang memegang jawatan ketua cabang.
"Justeru, bagi menghadapi PRU16, ahli cabang mengusulkan agar amalan tersebut diteruskan dengan memberi keutamaan kepada ketua cabang untuk mewakili PKR.

"Untuk kerusi parlimen Batu ini, ahli parti usulkan supaya ketua cabang diberikan keutamaan untuk bertanding mewakili PKR.
"Bagaimanapun, sekiranya pucuk pimpinan parti mempunyai perancangan lain, cabang mencadangkan agar 'Puteri Reformasi' itu diletakkan sebagai galang ganti," katanya kepada Malaysiakini.
Untuk rekod, kerusi Parlimen Batu kini disandang wakil PKR, P Prabakaran, yang memenanginya pada PRU14 sebagai calon Bebas selepas pencalonan Tian Chua ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum mendapat sokongan parti.
Pada PRU15, Prabakaran berjaya mempertahankan kerusi itu dalam persaingan 10 penjuru dengan majoriti 22,241 undi.

Namun, pada pemilihan parti Mei tahun lalu, dia tewas kepada Asheeq Ali bagi jawatan ketua cabang.
Mengulas lanjut, Asheeq berkata sokongan terhadap Nurul Izzah mencerminkan kehendak akar umbi yang mahukan calon berteraskan semangat reformasi serta memiliki imej bersih.
"Ahli-ahli di peringkat cabang hanya akan memberikan sokongan penuh kepada calon yang bebas daripada sebarang persepsi rasuah dan selari dengan prinsip perjuangan parti.
"Parlimen Batu mempunyai sejarah yang sangat panjang dan merupakan antara penggerak utama agenda reformasi di negara ini.

"Sebelum tertubuhnya PKR, kawasan berkenaan merupakan kubu kuat Parti Rakyat Malaysia (PRM)," katanya.
Dia turut merujuk tokoh seperti Allahyarham Syed Hussin Ali (gambar, atas) bekas timbalan presiden PKR, yang pernah bertanding di kerusi itu mewakili PRM pada 1990 sebagai cerminan nilai sejarah kawasan berkenaan.
"Atas faktor sejarah dan nilai perjuangan itu, cabang kami berpendapat parlimen Batu memerlukan sosok calon yang progresif dan tidak terpalit dengan kontroversi integriti," katanya.
Pada PRU15, Nurul Izzah tewas di kerusi Parlimen Permatang Pauh kepada calon PN, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
Anak sulung Anwar itu juga disebut-sebut sebagai antara nama yang berpotensi menggantikan ibunya Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Bandar Tun Razak pada pilihan raya akan datang.
