mk-logo
Berita
Sidang DUN tangguh: MB Perlis hargai 'jaminan' Shahidan
Diterbitkan:  Apr 21, 2026 2:51 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Jaminan diberikan ahli politik berpengaruh Perlis kepada kerajaan Perlis pada malam tadi nampaknya memberikan sinar baru kepada tanda tanya tarikh sidang dewan undangan (DUN) yang didakwa tertangguh secara tiba-tiba.

Pada malam tadi bekas Menteri Besar Perlis – yang kini menjadi antara pemimpin terkanan PAS dan PN – Shahidan Kassim memaklumkan tidak akan ada usul undi tidak percaya ke atas Abu Bakar Hamzah dalam sidang yang akan datang.

Asalnya sidang DUN Perlis dijadual berlangsung pada hari ini sehingga Khamis tetapi ditangguhkan tanpa tarikh baru diberikan oleh kerajaan negeri. Ia mendorong bekas menteri besar Mohd Shukri Ramli, memberikan tempoh seminggu kepada Abu Bakar untuk memberi penjelasan.

Ia mendorong spekulasi muncul semula di Perlis ketika kebanyakan orang melihat politik di negeri paling utara semenanjung itu sudah reda – walaupun sebelum ini panas sehingga membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.

Dalam hantaran ringkas di media sosial malam tadi Shahidan berkata, ada wakil rakyat bertanya mengapa sidang DUN di negeri itu ditangguhkan dan ada permintaan agar penjelasan diberikan.

“OK, tetapi undi tidak percaya. Tidak ada! Sokong MB (Abu Bakar) sehingga PRU,” tulis ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.

Kenyataan tersebut nampaknya disambut baik oleh Abu Bakar seperti dilaporkan BH Online petang ini. Difahamkan PAS Perlis mengadakan mesyuarat pada malam tadi.

Abu Bakar berkata pihaknya menghargai sokongan yang diberikan Shahidan – yang juga Pengerusi PN Perlis – dan ia akan mengukuhkan lagi kestabilan kerajaan negeri.

Shahidan Kassim

Dia yang juga Pengerusi Bersatu Perlis menambah semangat saling menghormati antara parti komponen PN penting bagi mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya berterima kasih atas usaha yang dijalankan oleh PN dan Jawatankuasa PAS Perlis yang bermesyuarat semalam, yang membuat keputusan mempertahankan kerajaan negeri PN ini kerana kita perlu saling menghormati,” katanya.

Abu Bakar berkata tarikh baru sidang DUN akan dimaklumkan tidak lama lagi dan berharap ia akan berlangsung dengan lancar tanpa “sebarang kacau ganggu”.

Dia yang juga Adun Kuala Perlis turut menyatakan keyakinan tingginya terhadap kemampuan PN dalam PRU akan datang – jika kerajaan negeri kekal stabil dan tiada isu yang timbul.

“Sekiranya kerajaan PN Perlis mampu kekal stabil dan rakyat merasai faedahnya, maka pada PRU ke-16, kita (PN) pasti menang semua kerusi DUN iaitu 15-0.

“Kita tidak akan berikan satu kerusi kepada pembangkang. Kita boleh ambil habis semua 15 kerusi DUN,” katanya.

Untuk rekod dalam PRU lalu, hasrat PN mencatat kemenangan sempurna tidak kesampaian apabila PH memenangi kerusi DUN Indera Kayangan melalui calon PKR, Gan Ay Ling.

Abu Bakar juga menegaskan bahawa PN perliu mempertahankan kerajaan negeri kerana semua pihak “perlu saling menghormati.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS