Sebuah kapal kargo ditembak berhampiran pantai Iran di Selat Hormuz, dalam insiden kedua seumpamanya pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi, memetik UK Maritime Trade Operations (Ukmto).
Agensi itu memaklumkan bahawa kapten sebuah kapal kargo yang sedang belayar keluar dari kawasan berkenaan melaporkan kapal itu “telah ditembak” kira-kira lapan batu nautika di barat pantai Iran pada 0638 GMT.
Kapal itu “kini berhenti” susulan insiden berkenaan, menurutnya, sambil menambah semua kru selamat dan “tiada kerosakan dilaporkan pada kapal”.
Pihak berkuasa itu berkata awal Rabu bahawa ia menerima laporan pada 0355 GMT mengenai satu insiden melibatkan sebuah kapal komersial kira-kira 15 batu nautika di timur laut Oman.
Terdahulu, Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (Ukmto) sebagai berkata, sebuah kapal kontena telah ditembak oleh Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).
Menurut pihak berkuasa itu, ia telah menerima laporan mengenai kejadian di 15 batu nautika (kira-kira 28 kilometer) timur laut Oman.
"Ketua kapal kontena melaporkan kapal itu telah didatangi oleh sebuah bot meriam IRGC, tanpa VHF (frekuensi tinggi) yang kemudiannya menembak kapal itu, menyebabkan kerosakan teruk pada pusat kawalan kapal berkenaan,” kata UKMTO dalam amaran.
Tiada kebakaran atau kesan alam sekitar dilaporkan dan semua anak kapal dilaporkan selamat, tambahnya.
Sejak serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb, insiden kapal diserang peluru sering berlaku di Teluk, Selat Hormuz dan Teluk Oman.
Iran dalam beberapa minggu kebelakangan ini melancarkan ancaman dan serangan yang telah mengganggu penghantaran di laluan air strategik itu.
