Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bekerjasama dengan pihak polis trafik bagi mengadakan sekatan jalan raya menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, petang ini.
Menurutnya, tindakan itu bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi lapangan terbang berkenaan susulan penganjuran konvoi motosikal oleh beberapa Adun Kelantan ke kawasan tersebut.
"Untuk menjamin keselamatan dan kelancaran operasi lapangan terbang, saya telah mengarahkan JPJ untuk bekerjasama dengan pihak polis trafik untuk mengadakan sekatan jalan raya pada petang ini dan memeriksa semua motosikal yang memasuki kawasan lapangan terbang pada petang ini tanpa kecuali termasuklah mana-mana YB yang membawa motor,” katanya dalam kenyataan.
Loke turut menyifatkan tindakan penganjuran konvoi tersebut sebagai tidak bertanggungjawab kerana kawasan lapangan terbang merupakan kawasan strategik yang perlu dipelihara bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang.
"Sekiranya terdapat sebarang kesesakan yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan mereka, adakah pihak penganjur bertanggungjawab untuk membayar pampasan tiket penerbangan mereka?
Anthony turut mempersoalkan sama ada konvoi bermotor itu telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa seperti yang diwajibkan.
"Sebarang konvoi bermotor juga sepatutnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Adakah pihak penganjur telah mendapat kelulusan?"soal ahli parlimen Seremban itu.

Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud memberitahu program tersebut bukan untuk menimbulkan kekecohan atau provokasi.
Ini selepas dia mencuri tumpuan apabila bangun mencelah perbahasan Adun Kota lama, Dr Hafidzah Mustakim, yang menyentuh isu anak muda melepak di kawasan lapangan terbang berkenaan semasa sesi sidang DUN, baru-baru ini.
Kata Wan Rohaimi, program Konvoi & Lepak Mat Motor bersama YB anjuran kelab penyokong kerajaan (BBC) dan Pemuda PAS Kelantan itu sekadar untuk “enjoy” dengan “cara ada kelas”.
“Pakat marii terr... petang tu kito ride santai jah… jumpa sain-sain, lepok santai biar ada suasano...
“YB YB pun ado skali, buleh jumpa depan-depan..
“Buke nak buat kacau gapo… kito nak enjoy cara baik, cara ado kelas, nok ko suasana hujung minggu,” tulisnya di Facebook.
