Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Indonesia kecam Israel berkait pembunuhan seorang lagi anggota pengamannya
Diterbitkan:  Apr 25, 2026 5:44 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Indonesia pada Sabtu mengecam pembunuhan seorang lagi anggota pengamannya di Lubnan susulan permusuhan yang berterusan, selain mengulangi gesaan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjalankan siasatan terhadap kematian itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Koperal Rico Pramudia, 31, yang berkhidmat dengan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), cedera parah akibat “letupan projektil” di sebuah pangkalan di Adchit al-Qusayr pada malam 29 Mac dan meninggal dunia di sebuah hospital di Beirut pada Jumaat.

Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah anggota pengaman Indonesia yang terbunuh dalam konflik itu kepada empat orang.

“Indonesia sekali lagi mengecam serangan Israel yang mengakibatkan kematian anggota pengaman Indonesia.

"Sebarang serangan terhadap anggota pengaman merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan boleh dianggap sebagai jenayah perang,” kata jurucakap Kementerian Luar Vahd Naby kepada Anadolu.

Beliau berkata Indonesia mengulangi gesaan supaya PBB menjalankan “siasatan segera, menyeluruh dan telus” bagi menentukan fakta sebenar, selain menegaskan bahawa akauntabiliti penuh mesti dijamin.

“Keselamatan anggota pengaman PBB tidak boleh dirunding. Oleh itu, kerajaan Indonesia juga terus menyelaras dengan PBB serta negara penyumbang anggota tentera dan polis lain bagi memperkukuh perlindungan anggota pengaman, termasuk melalui penilaian menyeluruh terhadap keselamatan mereka serta langkah pengurangan risiko yang dipertingkat di kawasan operasi UNIFIL,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Indonesia menyampaikan takziah kepada keluarganya dan merakamkan penghormatan tertinggi atas dedikasi serta pengorbanan anggota pengaman itu dalam memelihara keamanan antarabangsa.

Susulan serangan itu, beliau berkata menerusi penyelarasan “rapat dan intensif” dengan UNIFIL, kerajaan Indonesia, kerajaan Lubnan dan pasukan perubatan di Beirut memastikan rawatan perubatan segera dan optimum diberikan.

Bagaimanapun, susulan kecederaan parah dialami Pramudia, beliau meninggal dunia walaupun segala usaha dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya, kata jurucakap itu.

Jakarta, terus menyelaras rapat dengan UNIFIL bagi memastikan urusan penghantaran pulang jenazah dilaksanakan dengan segera dan penuh penghormatan.

Dengan kematian Pramudia, enam anggota UNIFIL terbunuh dan beberapa yang lain cedera parah dalam peningkatan ketegangan semasa.

Sejak 2 Mac, serangan Israel yang diperluas ke atas Lubnan mengorbankan lebih 2,200 orang dan menyebabkan lebih satu juta penduduk hilang tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lubnan.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS