Umno Negeri Sembilan sudah mengemukakan permohonan untuk mengadap Yang di-Pertuan Besar bagi memaklumkan situasi terkini berhubung senario politik di negeri itu.
Pengerusinya, Jalaluddin Alias, berkata parti itu mahu menyembah maklu mengenai keputusan mereka menarik sokongan daripada Menteri Besar, Aminuddin Harun.
"Kami sudah buat permohonan untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyatakan tentang pemakluman apa penarikan sokongan kita kepada menteri besar (Aminuddin).
"Saya belum lagi dititah mengadap dan saya bersedia pada bila-bila masa untuk mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Dia sekali lagi menegaskan tindakan yang diambil Adun Umno itu bukan kerana ingin merebut jawatan menteri besar, sebaliknya mempertahankan institusi adat di Negeri Sembilan.
Semalam 14 Adun Umno Negeri Sembilan menyatakan hilang keyakinan terhadap Aminuddin selaku menteri besar dan mempertahankan institusi adat dan perlembagaan serta undang-undang tubuh kerajaan negeri.
Dua belas daripada 14 Adun terbabit hadir di sidang media tersebut.
Secara keseluruhan DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Selain 14 diwakili Umno, 17 lagi merupakan kerusi PH. Baki lima lagi kerusi diwakili PN selaku pembangkang.
Susulan pengumuman Umno itu, lima Adun PN Negeri Sembilan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.
Bukan langkah ‘tebuk atap’
Mengulas lanjut, Jalaluddin menepis tanggapan bahawa usaha untuk menjatuhkan kerajaan telah dirancang lebih awal dengan PN.
Bahkan dia turut menepis tanggapan bahawa apa yang dilakukannya sebagai usaha untuk mewujudkan kerajaan "tebuk atap".
"Tebuk atap maknanya ialah daripada menjadi pembangkang nak jadi kerajaan, sekarang kita kerajaan, tak ada sebab kita nak tebuk atap.
"Ini demi mempertahankan prinsip perjuangan parti,” katanya lagi.

Sementara itu, Jalaluddin berkata kesemua exco BN telah diarahkan untuk mengosongkan pejabat masing-masing hari ini.
Adun BN yang memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua DUN juga akan menghantar surat peletakan jawatan.
"Saya dah minta kesemua exco dan juga timbalan yang dipertua untuk menyerahkan kereta (rasmi kerajaan), keluar dari ofis dan menyerahkan semua kemudahan-kemudahan yang diperolehi.
"Saya pun dah serahkan awal pagi tadi kerana semalam kami ada beberapa program yang tak sempat dan saya dah minta semua pemandu untuk menyerahkan semua kemudahan yang ada," ujarnya lagi.
