Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal RM5.12 seliter, manakala harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing naik lima sen dan 10 sen bagi tempoh 30 April hingga 6 Mei 2026, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian itu memaklumkan, harga runcit RON97 ditetapkan RM4.90 seliter, naik lima sen berbanding RM4.85 seliter sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi naik 10 sen kepada RM3.97 seliter berbanding RM3.87 seliter minggu lepas. Diesel di Semenanjung pula kekal tanpa perubahan.
Dalam tempoh sama, kerajaan mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu, meliputi RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.
“Pelarasan harga minggu ini adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu.
“Krisis di Asia Barat yang masih berlarutan terus mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran petroleum global, dengan risiko konflik yang kekal tinggi dan hala tuju pasaran yang masih sukar dijangka. Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi diselaraskan berikutan pergerakan harga pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan MOF hari ini.
MOF berkata harga petroleum yang kekal tinggi berbanding paras prakonflik turut dibelenggu kekangan bekalan minyak dan produk petroleum global, apabila kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan.
Justeru, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus menggunakan bahan api secara berhemat bagi membantu memperkukuh kestabilan bekalan negara.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut kenyataan itu.
-Bernama
