Percubaan menumbangkan kerajaan Negeri Sembilan melalui langkah 'tebuk atap' dikatakan menemui jalan buntu apabila presiden Umno sendiri, Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan tegas menolak pembentukan kerajaan baru di negeri tersebut.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan bahawa pendirian tersebut dinyatakan secara rasmi oleh timbalan perdana menteri itu semasa mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam. Langkah itu dikatakan menyaksikan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun mampu berjalan seperti biasa.

Akhbar Berita Harian memetik Loke, sebagai berkata, walaupun terdapat laporan mengenai 14 Adun daripada Umno yang dikatakan menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin, komitmen Ahmad Zahid terhadap Kerajaan Perpaduan tetap tidak berubah.
"Presiden Umno sendiri telah mengesahkan dalam Kabinet bahawa beliau tidak bersetuju dengan sebarang usaha menubuhkan kerajaan baharu secara pintu belakang.
“Ini bermakna, pentadbiran sedia ada akan diteruskan demi menjamin kestabilan negeri," kata Loke.
Dia menambah, bahawa Biro Politik Umno juga telah mengeluarkan kenyataan yang senada; biarpun wujud isu hilang kepercayaan terhadap individu menteri besar, sokongan terhadap struktur kerajaan perpaduan tetap utuh.
Mengulas mengenai ketegangan yang melibatkan institusi adat dan Perlembagaan negeri, Loke yang juga Adun Chennah memilih untuk bersikap berkecuali.

Katanya, bahawa kemelut antara Yang di-Pertuan Besar dengan Undang Luak adalah urusan dalaman institusi berkenaan yang perlu diselesaikan mengikut saluran yang betul.
"Fokus kita di peringkat kerajaan negeri adalah untuk memastikan jentera pentadbiran berfungsi tanpa gangguan. Menteri besar, barisan exco, dan semua Adun harus bekerja seperti biasa bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa ketidakstabilan politik," katanya.
Berita Harian juga melaporkan apabila ditanya mengenai dakwaan penglibatan seorang menteri pusat yang dikatakan bersama di sebalik gerakan 14 Adun tersebut, Loke enggan memberikan ulasan lanjut.
Dia sebaliknya menyarankan agar pihak media mendapatkan penjelasan terus daripada individu yang dikaitkan dengan gerakan tersebut.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas individu yang dimaksudkan itu adalah Menteri Pertahanan Mohamad Hasan yang juga adalah Adun Rantau.

Pemuda DAP parti yang diterajui oleh Loke, hari ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecat Mohamad Hasan daripada kabinet susulan dakwaan penglibatannya dalam usaha membentuk kerajaan "tebuk atap" di Negeri Sembilan.
