Kemelut politik Negeri Sembilan masih belum selesai meskipun Umno membuat ketetapan untuk meneruskan sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana 14 Adun Umno Negeri Sembilan masih kekal dengan keputusan menarik balik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.
Seorang Adun Umno yang enggan namanya didedahkan mengesahkan isu politik di negeri ini masih belum reda dan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan perpaduan.
"Seperti dinyatakan dalam kenyataan media Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki. Tindakan Adun BN tidak percaya pada menteri besar adalah kekal.
"Oleh itu isu ini akan diselesaikan melalui mesyuarat Biro Politik Umno dan Pakatan Harapan (PH). Jadi, soal menteri besar masih menjadi isu.
"Kita tengok lah nanti macam mana, " katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, kepimpinan Umno dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengimbangi pendirian antara Adun parti itu di Negeri Sembilan dan juga kerajaan gabungan yang memerintah negeri berkenaan.
Walaupun dilihat memilih langkah selamat, kenyataan yang dikeluarkan Umno malam tadi memberi bayangan bahawa parti itu tidak akan mendesak pilihan raya mengejut di negeri tersebut — sekurang-kurangnya buat masa ini.

“Umno Malaysia berpendirian untuk menghormati Adun BN yang kekal hilang kepercayaan kepada menteri besar.
"Namun, (Umno) terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara," kata Asyraf dalam satu kenyataan.
Selain itu, Asyraf menyatakan Umno berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan biro politik PH bagi menyelesaikan isu yang timbul, selaras dengan perjanjian kerajaan gabungan yang menetapkan sebarang pertikaian perlu dirungkai melalui jawatankuasa perundingan.
Isnin lalu, 14 Adun Umno Negeri Sembilan mengumumkan menarik balik sokongannya terhadap Aminuddin, susulan pergeseran melibatkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Pengerusi Umno negeri Jalaluddin Alias berkata keputusan itu dibuat sebulat suara oleh semua 14 Adun kerana hilangnya keyakinan mereka terhadap kepimpinan Aminuddin.
Sementara itu sumber memaklumkan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah mendapatkan penjelasan daripada Jalaluddin berhubung kemelut politik Negeri Sembilan.
"Pada pertemuan malam tadi, Presiden Umno telah mendapat penjelasan Jalaluddin mengenai situasi sebenar.
"Presiden faham langkah yang telah diambil 14 Adun BN," ujarnya lagi.
