Adun Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus, secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Pahang yang baru bagi menggantikan tempat Ahli Parlimen Rompin, Abdul Khalib Abdullah.
Dia menerima watikah pelantikan itu daripada Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin, di ibu negara hari ini.
"Ya, sebentar tadi (saya) terima (watikah) disampaikan Tan Sri Presiden," katanya mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
Selain Adun, Mohd Yazid juga adalah ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) parti berkenaan.
Abdul Khalib pada 16 April lalu memaklumkan dia ditamatkan khidmatnya sebagai ketua parti itu bagi negeri Pahang. Perkembangan itu menyusul ekoran pembabitan Abdul Khalib menyokong Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, yang berseteru dengan Muhyiddin.
Mengikut surat yang saya terima, kata Abdul Khalib, dia ditamatkan jawatan sebagai ketua parti itu untuk Pahang berkuat kuasa pada 10 Mac lalu.
Pelantikan Mohd Yazid itu menyaksikan seorang lagi Adun daripada Bersatu di Pahang, Jasri Jamaludin, kekal sebagai timbalan pengerusi.
Semetara itu, Jasri menerusi satu kenyataan memaklumkan, pemilihan Mohd Yazid adalah bersesuaian dengan masa memandangkan PN Pahang sedang rancak memfokuskan usaha untuk menerajui negeri itu.
Pengerusi PN Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam sidang media selepas pemukiman mereka baru-baru ini memaklumkan, gabungan itu merangka enam resolusi bagi memastikan sasaran mentadbir Pahang dapat dicapai.
Katanya, gabungan itu menetapkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 26 kerusi DUN serta menambah tiga lagi kerusi parlimen.
Ketika ini, PN Pahang menguasai 17 daripada 42 jumah kerusi keseluruhan DUN. Untuk menjadi kerajaan, sesebuah parti atau gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 22 kerusi.
