Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tindakan 14 Adun BN di Negeri Sembilan menarik sokongan ke atas menteri besar baru-baru ini, kata Ahmad Zahid Hamidi, adalah berniat bagi bagi memastikan institusi raja dan adat negeri tersebut terus dihormati.

Pengerusi BN itu berkata tindakan mereka tidak harus disalah tafsir kerana dibuat dengan tujuan memperkukuh kedudukan institusi berkenaan, khususnya dalam kalangan wakil rakyat parti terbabit.

Menurut Ahmad Zahid, langkah tersebut bagaimanapun telah menimbulkan pelbagai persepsi dan tafsiran yang berbeza daripada niat asal Adun terbabit.

"Saya ingin menyebutkan bahawa langkah yang dibuat oleh 14 Adun di Negeri Sembilan adalah merupakan satu langkah yang berniat baik (iaitu) agar institusi raja dan institusi adat di Negeri Sembilan dapat dihormati dan dapat didukung oleh semua rakyat di Negeri Sembilan, khususnya oleh Adun-Adun daripada Umno dan BN," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MyDigital ID di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata dia juga telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan kesemua 14 Adun berkenaan bagi memperjelaskan keadaan sebenar dan membetulkan persepsi yang timbul dalam kalangan rakyat.

Katanya, daripada hasil penemuan tersebut ke 14 Adun terbabit masih kekal dengan pendirian sebelum ini, namun tetap bersama kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.

Katanya, langkah tersebut dibuat bagi mengelakkan wujud "sebarang aktitivi menggugat kesejahteraan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat" secara keseluruhan.

Sangat berlapang dada

Dia juga menegaskan, tindakan itu sama sekali tidak bertujuan menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan semua ke-14 Adun daripada Negeri Sembilan itu untuk melihat semula bahawa dengan tidak berhajat untuk kita retract (tarik sokongan).

"Tetapi kita mahu membetulkan persepsi yang ada bahawa usaha yang dilakukan oleh mereka bukan berhasrat untuk menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang," katanya.

Pada masa sama, kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, hasil perbincangan bersama kepimpinan parti dan Adun terbabit menunjukkan kesepakatan mereka untuk terus menyokong kerajaan Negeri Sembilan.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, dalam kenyataan menyatakan parti itu terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan namun menghormati pendirian Adun yang hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Asyraf Wajdi berkata isu itu dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik Umno semalam yang membuat beberapa ketetapan.

Antaranya memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis institusi raja dan adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti kerajaan.

Dalam pada itu, menjawab jika menteri besar baru perlu dilantik di Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu perlu dibawa ke meja rundingan di antara BN dan PH.

Katanya, kedua-dua parti mempunyai perjanjian 18 perkara dan sebarang masalah harus diselesaikan secara bersama.

"Pada hemat saya, Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) selaku Pengerusi PH sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kita sama-sama melihat jika ada perkara-perkara secara perinciannya boleh kita selesaikan cara bersama.

"Ini demi kepentingan rakyat keseluruhannya. Kerana kita tahu negara sedang menghadapi permasalahan ekonomi global dan kita harus bersatu hati untuk bersama-sama bukan hanya menangani tetapi bersama-sama untuk mendukung yang dihasratkan oleh perdana menteri bagi mewujudkan kestabilan politik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS