Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan kerajaan menilai semula perbelanjaan bagi mengelak pembaziran, termasuk pelancaran wilayah koridor ekonomi di seluruh negara.

Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan RM50 juta hingga RM100 juta untuk satu majlis pelancaran koridor ekonomi dan ini merupakan satu pembaziran.

"Jika kos sebenar RM100 juta untuk satu koridor, ini bermakna kerajaan membelanjakan RM500 juta untuk kelima-lima koridor ekonomi negara.

"Dengan keadaan ekonomi sekarang, adakah anda fikir wang sebanyak itu akan diperolehi semula?," katanya dalam sidang media di Ibupejabat PKR di ibunegara hari ini.

Abdul Khalid berkata, apa yang berlaku sekarang ialah perbelanjaan melebihi pendapatan dan fenomena ini tidak baik kepada kerajaan.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM120 bilion untuk perbelanjaan tahun 2008 tetapi pendapatan dari cukai tidak melebihi RM75 bilion.

Ini bermakna, katanya, kerajaan terpaksa membelanjakan RM45 bilion lagi hasil daripada pendapatan Petronas untuk menampung kekurangan tersebut.

Jangan keliru rakyat, pelabur

Abdul Khalid juga mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein bahawa kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat tidak menjejaskan ekonomi negara.

Setiausaha Agung PKR itu berkata, tokoh politik Kelantan itu perlu lebih berhemah membuat kenyataan supaya ia tidak mengelirukan rakyat dan pelabur.

"Unit Perancang Ekonomi (EPU) kena membuat analisa yang betul kerana 6 peratus itu hanya jangkaan semata-mata.

"Kita perlu ingat bahawa banyak negara telah mengubah dasar ekonomi masing-masing dalam tempoh dua minggu lalu," katanya.

Abdul Khalid berkata, 70 peratus hasil pendapatan negara bergantung kepada sektor pembuatan iaitu barangan elektrik dan elektronik yang dieksport ke Amerika Syarikat.

Menurutnya, ekonomi Malaysia kecil iaitu lebih kecil dari Florida tetapi dasarnya tidak liberal berbanding Singapura.

"Akibatnya pembekal boleh mencipta keadaan di mana mereka boleh menaikkan harga untuk kepentingan mereka," katanya lagi.