Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengarahkan sebuah kelab malam di Bandar Setia Utara Fontaines di Bertam ditutup kerana tidak mematuhi peraturan lesen ditetapkan.
Datuk Bandar MBSP Baderul Amin Abdul Hamid berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di premis itu sebanyak tiga kali dari 23 hingga 29 April.
“Pemeriksaan mendapati premis itu gagal mematuhi perkara seperti menjual minuman keras dan mempamer papan iklan tanpa lesen serta meletak meja dan kerusi tambahan tanpa permit.
“Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati premis itu mempunyai binaan tanpa kebenaran dan kelulusan MBSP,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Baderul Amin berkata MBSP telah mengarahkan pemilik premis untuk memberi penjelasan dalam tempoh tujuh hari berhubung perkara tersebut.
Sekiranya pemilik premis gagal mengemukakan maklum balas dalam tempoh ditetapkan atau penjelasan dikemukakan tidak munasabah, katanya, lesen premis dan iklan akan dibatalkan.
Terdahulu, tular di media sosial aduan awam membantah operasi kelab malam itu kerana didakwa dibuka sehingga awal pagi, selain terletak di sebelah pusat pengajian dan asrama perempuan tahfiz serta pusat jagaan orang tua.
Pengoperasian kelab malam itu menyebabkan orang ramai dan Pergerakan Pemuda Umno Kepala Batas mengadakan perhimpunan di hadapan premis tersebut meminta ia ditutup sepenuhnya.
Selain beroperasi hingga awal pagi, mereka mendakwa juga menerima aduan terdapat pengunjung mabuk dan botol minuman keras dibuang merata-rata di kawasan tersebut.
- Bernama
