story images
story images
mk-logo
Berita
Tengku Zafrul bukan ada rasa malu, kata Rafizi
Diterbitkan:  May 2, 2026 2:56 PM
Dikemaskini: 6:56 AM
2

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dilihat terus menyerang dan mengkritik penasihat kanan kepada perdana menteri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan menyatakan bahawa pemimpin Umno itu bukan seorang yang 'tahu malu'.

Dalam podcast terbaru Yang Berhenti Menteri semalam, Rafizi berkata Tengku Zafrul sebelum ini sanggup meninggalkan Bersatu untuk bersama Umno, sebelum akhirnya menyertai PKR.

"Zafrul ini bukan jenis malu. Kalau dia jenis malu dia takkan lompat dari Muhyiddin (Yassin) ketika kerajaan PN kepada Umno.

"Di Umno diangkat dia sampai jadi bendahari Selangor, jadikan calon (parlimen Kuala Selangor-PRU15). Malah, Anwar (Ibrahim) pernah maki dia sebelum PRU.

"Tapi tiba-tiba masuk PKR jadi best friend kepada PMX," kata Rafizi.

Tengku Zafrul dilantik sebagai menteri kewangan ketika pentadbiran Muhyiddin dan jawatan itu dikekalkan kepadanya ketika Ismail Sabri menjadi perdana menteri.

Dia juga pernah dilantik sebagai bendahari Umno Selangor serta ketua bahagian Umno Kota Raja.

Namun pada Mei 2025 Tengku Zafrul mengumumkan menyertai PKR, menyebabkan ramai pemimpin Umno ketika itu melabelnya sebagai “katak politik”.

Sementara itu, Rafizi sekali lagi menyatakan keyakinannya bahawa Tengku Zafrul bakal bertanding di Pandan susulan 'lawatan intensif' yang dilakukannya sejak kebelakangan ini.

‘Bakal bertanding di Pandan’

Rafizi mendakwa, pergerakan Zafrul yang hampir setiap hari berada di Pandan menunjukkan bekas Menteri Kewangan itu dijanjikan atau diarahkan untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu terbesar di Kuala Lumpur itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Sekarang dia buat intensif di Pandan. Zafrul tiap-tiap hari memang berada di Pandan. Jadi dah jelas dia dijanjikan untuk bertanding di Pandan.

"Memang dalaman PKR sebut bahawa dia diarahkan untuk bertanding di Pandan. Jadi kita akan dapat banyak lagi laporan intensif macam inilah.

"Selamat maju jaya untuk dia. Pengundi Pandan mesti akan seronok, minta duit banyak-banyak," seloroh Rafizi lagi.

Terdahulu, Zafrul minggu lalu meluahkan rasa kecewa terhadap keadan Masjid Al-Azim di Pandan kerana ketiadaan penyaman udara.

"Semasa solat, memang terasa panas dan ruang solat ketika ini hanya bergantung kepada kipas. Pihak pengurusan masjid turut memaklumkan bahawa sistem penyaman udara merupakan keperluan utama ketika ini.

"Insya-Allah, saya akan berusaha membantu dalam perkara ini," kata bekas menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu.

Semakan Malaysiakini di media sosial Tengku Zafrul mendapti pemimpin Umno itu kerap turun ke parlimen Pandan untuk menghadiri program melibatkan pengundi di kawasan itu.

Rafizi menang di kerusi parlimen itu pada PRU2013 dan PRU15 sebelum hilang kelayakan bertanding pada PRU 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS