Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras, memasuki hari ketiga hari ini dengan pencarian diperluas hingga ke Sungai Langat.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Izman Adnan berkata radius tersebut merangkumi jarak lima kilometer (km) dari lokasi kejadian, di sekitar Pangsapuri Sri Hijau sehingga penghujung Sungai Long yang bersambung dengan Sungai Langat.
Beliau berkata pencarian hari ini, turut dibuat dari Sungai Langat sejauh 24km menghala ke penahan air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya, menjadikan radius keseluruhan pencarian 29km.
“Keseluruhan pasukan penyelamat hari ini sebanyak 60 orang daripada bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis, manakala aset termasuk tiga buah bot dan dua kanu, dengan satu unit K9 (anjing pengesan).
“Kita berharap untuk selesaikan pencarian hari ini, dibantu oleh cuaca yang baik ketika ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Kajang, hari ini.
Izman berkata strategi pencarian hari ini, turut melibatkan khidmat Unit K9 di beberapa lokasi strategik sepanjang sungai yang dalam, sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menyelam jika terdapat sebarang petunjuk positif.
Mengenai cuaca, beliau berkata persekitaran yang cerah dengan keadaan arus sungai yang tenang serta cetek pada paras lutut, banyak memudahkan pergerakan anggota menyusuri tebing dan laluan air.
Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil sebiji bola, sebelum dihanyutkan arus deras susulan hujan lebat dalam kejadian petang Jumaat.
Bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 7.08 malam.
- Bernama
