ULASAN | Tidak masuk akal dari sudut kestabilan politik di Negeri Sembilan sekiranya Menteri Besar Aminuddin Harun terus mengetuai sebuah kerajaan minoriti.
Sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mengadakan usul undi percaya terhadap Aminuddin ataupun kembali kepada status quo yang wujud sebelum “kudeta” oleh 14 Adun BN-Umno.
Memandangkan 14 Adun tersebut tetap berpegang kepada pendirian bahawa mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap Aminuddin, jalan terbaik ialah mengadakan undi percaya di Dewan Undangan Negeri.
Terdapat juga kemungkinan bahawa sama ada Aminuddin mempunyai sokongan majoriti atau tidak boleh ditentukan melalui faktor-faktor luar sebagaimana yang berlaku dalam pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar di Perak beberapa dekad lalu.
Mahkamah ketika itu mengambil pendirian bahawa majoriti dalam Dewan Undangan Negeri boleh ditentukan melalui faktor lain seperti akuan bersumpah dan sebagainya.
Ketika kerajaan persekutuan sedang mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut politik semasa di Negeri Sembilan, BN-Umno pula kelihatan enggan mengakui bahawa 14 Adun tersebut telah melakukan kesilapan.
Sebaliknya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berpendapat bahawa para Adun itu tidak bersalah dalam membuat keputusan tersebut.
Menunjukkan kekuatan
Seperti yang saya katakan sebelum ini, apa yang berlaku di Negeri Sembilan bukanlah satu kebetulan tetapi percubaan yang disengajakan oleh Umno untuk menunjukkan kekuatannya dengan persetujuan para pemimpin tertinggi termasuk Zahid.
Konflik dalaman Umno mungkin memainkan peranan dalam tindakan yang diambil oleh para Adun itu, namun faktor luaran berkaitan kebangkitan politik parti tersebut merupakan pendorong utama.
DAP, sebagai salah satu komponen dalam gabungan PH, telah salah memahami situasi politik yang berlaku.
DAP cuba bergantung kepada jaminan yang diberikan oleh Zahid untuk mengatakan bahawa kerajaan gabungan pimpinan PH di negeri itu masih kukuh.

Khairy Jamaluddin yang baru-baru ini diterima semula menyertai Umno pula memberikan gambaran yang berbeza mengenai perkembangan politik di negeri tersebut.
Beliau malah mencadangkan supaya undi percaya diadakan di Dewan Undangan Negeri bagi menyelesaikan kebuntuan politik semasa.
Nasihat Khairy itu mungkin mendapat sokongan majoriti dalam Umno. Akhirnya, Zahid mungkin terpaksa akur kepada kehendak majoriti dalam parti.
Adalah sesuatu yang bodoh bagi Umno sekiranya hasil usaha politik mereka dibiarkan dirampas pada saat akhir.
Kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini sedang menunggang ‘harimau’ BN-Umno; hanya menunggu masa sebelum harimau itu membaham pihak yang menunggangnya.
P RAMASAMY ialah Pengerusi Urimai.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
