Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serangan terhadap wartawan ancam kebebasan global - ketua hak asasi PBB

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Volker Turk memberi amaran bahawa peningkatan serangan terhadap wartawan di seluruh dunia sedang menggugat kebebasan, kebertanggungjawapan dan masyarakat demokratik.

Anadolu Ajansi melaporkan Turk sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada Ahad menyifatkan media bebas sebagai “oksigen kepada masyarakat yang bebas dan terbuka,” sambil menekankan peranannya dalam memaklumkan perdebatan awam, mendedahkan penyalahgunaan serta menggalakkan ketelusan.

Beliau berkata bidang kewartawanan kini semakin berbahaya, dengan sekurang-kurangnya 14 wartawan terkorban setakat tahun ini, manakala hanya kira-kira satu daripada 10 kes pembunuhan sepanjang dua dekad lalu membawa kepada akauntabiliti penuh.

Turk turut menekankan risiko yang dihadapi wartawan di zon konflik, dengan menyifatkan serangan Israel di Semenanjung Gaza sebagai “perangkap maut” bagi pengamal media, dengan hampir 300 wartawan terkorban sejak Oktober 2023.

Beliau juga memaklumkan peningkatan ancaman di luar zon perang, termasuk pengawasan, intimidasi undang-undang dan gangguan dalam talian, dengan wartawan wanita menjadi sasaran secara tidak seimbang.

Menggesa tindakan segera, Turk menyeru negara-negara supaya menghentikan penganiayaan terhadap media, memansuhkan undang-undang yang menyekat serta memastikan akauntabiliti terhadap serangan, selain menggesa syarikat teknologi membanteras maklumat palsu dan penyalahgunaan dalam talian.

“Wartawan tidak boleh berjuang bersendirian,” katanya sambil menggesa perlindungan lebih kukuh bagi melindungi kebebasan media dan nilai demokratik di seluruh dunia.

- Bernama - Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS