Isu kenaikan harga barang yang dihadapi peniaga kecil akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini bagi meneliti langkah mengurangkan beban golongan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata maklum balas yang diperoleh secara langsung daripada peniaga kecil seperti pengusaha warung mendapati kenaikan harga barangan berlaku sedikit demi sedikit setiap minggu, namun memberikan kesan ketara kepada operasi perniagaan.

"Saya bukan dengar daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Datuk Johan Mahmood Merican) atau Ketua Setiausaha (KSU), saya dengar daripada kedai,” kata beliau pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata walaupun laporan rasmi menunjukkan harga barangan masih terkawal, realiti pada peringkat akar umbi perlu diambil kira dalam merangka dasar kerajaan.
Beliau menegaskan adalah penting pemantauan lebih teliti dilaksanakan sekiranya kenaikan harga tidak dapat dikawal sepenuhnya.
"Jadi hari Rabu mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan bawa kes ini. Saya kata macam mana kita nak pantau betul-betul, kalau benar tak boleh kita kawal, apakah yang harus kita lakukan lagi untuk mengurangkan beban seperti peniaga kecil.

"Itu sebab saya kata kita ini (walau) pandai, bijak, dikelilingi oleh pakar-pakar terkemuka, masih harus mendengar dari bawah dan akar umbi," kata beliau.
- Bernama
