Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu tunggal maut lepas tergelincir ketika mendaki
Diterbitkan:  May 5, 2026 9:26 AM
Dikemaskini: 1:26 AM

Seorang pendaki wanita yang juga ibu tunggal ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Betis ketika melakukan aktiviti mendaki di Pos Balar, Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa memulakan pendakian tersebut bersama sekumpulan 11 yang lain pada 1 Mei lalu.

Katanya, ekspedisi pendakian berkenaan melibatkan kawasan Gunung Gerah, Gunung Bilah, dan Gunung Biyed.

"Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam pada 2 Mei.

“Semasa melalui kawasan Sungai Betis dalam keadaan gelap, mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sik menjelaskan bahawa ahli kumpulan pendaki berkenaan telah menjalankan usaha pencarian dengan segera, namun mangsa gagal ditemukan pada malam kejadian.

" Kira-kira 8 pagi pada 3 Mei, mangsa yang berusia 50-an dan berasal dari Kuala Lumpur itu ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira 300 meter dari tempat dia terjatuh. Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia.

"Pihak polis telah menerima maklumat rasmi berhubung insiden kehilangan itu pada hari yang sama iaitu pada jam 3.21 petang,” katanya.

Susulan kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang telah menyelaras Operasi Mencari dan Menyelamat yang turut melibatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengeluarkan mangsa.

Sik berkata pasukan penyelamat terpaksa mengharungi perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira empat jam, disusuli dengan berjalan hampir 10 jam untuk sampai ke lokasi insiden.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Sik menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, membuat perancangan yang rapi serta menggunakan khidmat pemandu arah yang berpengalaman ketika melakukan aktiviti pendakian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS