Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM200 juta hasil pesta Bukit Bintang bantu peniaga kecil - LGE
Diterbitkan:  May 5, 2026 12:30 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Kejayaan Rave Water Festival 2026 meraih hasil RM200 juta dilihat akan membantu peniaga kecil dan memberi publisiti positif kepada Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat serta menawarkan hiburan sihat, kata Penasihat DAP Lim Guan Eng.

Kejayaan ini jelasnya, membuktikan keazaman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing untuk tidak tunduk kepada “tekanan fanatik” dalam melaksanakan program Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Dia juga menyelar kritikan yang disifatkan sebagai ekstrem oleh pemimpin BN dan PN terhadap acara tersebut.

“Tiong juga wajar diberi penghargaan kerana mengembangkan sektor pelancongan Malaysia kepada RM332 bilion dan menarik 42 juta pelancong pada tahun 2025.

“Adakah BN, Umno, PN dan PAS buta terhadap kejayaan-kejayaan sebegini yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat?

“Walaupun tindakan ekstrem oleh parti pembangkang seperti ini sudah dijangka, adalah mengecewakan apabila Umno dan BN, walaupun berada dalam kerajaan perpaduan, turut mengambil pendirian keras yang sama bersama PN dan PAS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata demikian sebagai mengulas kejayaan Rave Water Festival 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada hujung minggu lalu.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan acara itu menarik 180,000 pengunjung dan menjana sehingga RM200 juta hasil keseluruhan pelancongan, menurut sebuah persatuan pelancongan tempatan.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (Mita), Mint Leong berkata festival yang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei itu turut mencatat 1.4 bilion klik di platform media sosial global.

Festival Rain Rave Water Music 2026 dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai sebahagian daripada Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ia dipromosikan sebagai gabungan unik muzik, air dan elemen hiburan moden.

Hujan dijadikan sebahagian daripada pengalaman festival, bersama persembahan muzik, pencahayaan dan elemen interaktif yang direka untuk mewujudkan suasana menarik kepada pengunjung.

‘Umno tak boleh dipercayai’

Lim berkata, jelas sekali BN dan Umno telah menunjukkan diri mereka sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan perpaduan. 

Dakwanya, cubaan rampasan kuasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dengan menarik sokongan Ahli Dewan mereka terhadap menteri besar yang sah serta bekerjasama dengan Adun PN untuk melemahkan kestabilan kerajaan negeri Negeri Sembilan adalah contoh yang jelas.

“Selain itu, kenyataan berulang bahawa BN dan Umno akan bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya umum akan datang menentang PH, walaupun bekerjasama dengan PH dan memegang jawatan penting dalam Kabinet kerajaan perpaduan, turut membuktikan perkara ini.

“Tindakan tikam belakang berulang kali terhadap PH oleh BN dan Umno, yang mengabaikan kepentingan negara demi keuntungan politik peribadi, jelas menunjukkan bahawa mereka wajar terus ditolak oleh rakyat,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS