Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM31.3 bilion dana 1MDB kembali ke kantung negara - Azam Baki
Diterbitkan:  May 6, 2026 12:12 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Malaysia berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion atau 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng setakat tahun lepas, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata kejayaan itu sekali gus menjadi antara rekod kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi skandal jenayah kewangan berskala besar.

Jumlah yang berjaya diperoleh semula itu juga melepasi anggaran awal sebanyak 70 peratus atau RM30 bilion yang dinyatakan dalam beberapa laporan sebelum ini.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen teguh kerajaan dalam mendapatkan semula aset negara yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, serta selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan setiap aset yang hilang dikesan dan dikembalikan kepada negara.

“Setakat ini, berdasarkan data yang ada, jumlah keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng ialah RM42 bilion.

Azam juga berkata, SPRM kini dalam proses mendapatkan semula lapan lagi karya seni yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana 1MDB dianggarkan lebih RM120 juta pada hujung tahun ini. 

Menurutnya, SPRM telah mengenal pasti 12 karya seni untuk dibawa pulang ke Malaysia, dengan empat daripadanya telah berjaya diperoleh semula.

Beliau berkata antara karya seni yang masih dalam proses pemulangan ialah hasil karya Henri Matisse bernilai USD52,500; Alexander Calder (USD125,000); Pablo Picasso (USD1.265 juta); William H. Bailey (USD66,250) serta Raoul Dufy (USD40,000), manakala nilai karya Salvador Dalí dan Gustave Loiseau masih dalam proses pengesahan.

“Secara keseluruhan, nilai lukisan yang masih dalam proses pemulihan dianggarkan USD1.7 juta bersamaan dengan kira-kira RM6.9 juta.

“SPRM juga sedang giat berusaha untuk membawa pulang hasil jualan sebuah lukisan oleh Claude Monet bertajuk 'Vétheuil au Soleil' yang telah dijual di Switzerland dengan nilai anggaran EUR25.2 juta, atau kira-kira RM114 juta,” katanya pada sidang media berhubung pemulangan karya seni berkaitan 1MDB di sini hari ini.

Azam berkata dana berkenaan kini tertakluk kepada prosiding penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, dan usaha pemulihan terus dipergiat melalui saluran perundangan serta kerjasama dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Switzerland.

Beliau berkata kejayaan mendapatkan semula karya seni berkenaan merupakan sebahagian daripada pencapaian lebih besar Malaysia dalam usaha pemulihan aset 1MDB.

SPRM sebelum ini, katanya, berjaya membawa pulang empat karya seni antarabangsa yang dibeli menggunakan dana 1MDB menerusi rumah lelong Sotheby’s di New York pada 14 April lepas.

“Semua karya seni ini dikesan melalui transaksi di rumah lelong bertaraf dunia seperti Christie’s dan Sotheby’s di New York, dan berjaya diperoleh semula melalui proses perundangan serta kerjasama strategik antarabangsa membabitkan agensi seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ).

“Karya-karya ini tidak dirampas secara fizikal, sebaliknya diserahkan melalui proses sah di sisi undang-undang termasuk pelaksanaan Surat Kuasa Wakil (POA) oleh USDOJ kepada SPRM menerusi Jabatan Peguam Negara.

“Ini membuktikan bahawa pendekatan pemulihan aset dibuat berdasarkan proses perundangan dan diplomatik yang teliti,” katanya.

Azam berkata empat karya seni yang telah dibawa pulang dengan nilai dianggarkan USD198,125 (RM786,556) akan diserahkan kepada Balai Seni Negara dalam masa terdekat.

Empat karya seni itu ialah karya oleh Joan Miró bertajuk "Composition" (1953) dengan nilai pembelian USD93,750 dan karya Maurice Utrillo bertajuk "Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre" (1934) bernilai USD50,000.

Karya lain termasuklah hasil seni Balthus bertajuk "Étude pour femme couchée" (1948) bernilai USD28,125 dan karya Pablo Picasso bertajuk "L’Ecuyère et les clowns" (1961) dengan nilai USD26,250.

Azam berkata semua lukisan berkenaan melalui proses pengangkutan yang ketat dan teratur bermula di New York pada 8 April sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10 April lepas.

"Karya itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di bawah kawalan keselamatan tinggi melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Balai Seni Negara dan petugas logistik,” katanya.

Mengulas sama ada karya seni berkenaan akan dijual, Azam berkata perkara itu akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS