Seorang pemimpin PKR Perak mempertahankan status parlimen Tambun yang kini dilabel sebagai kerusi "marginal" menjelang PRU16, dengan mengingatkan bahawa kerusi berkenaan pernah melalui fasa "kelabu" ketika PRU15 namun tetap dimenangi presiden parti Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Malaysiakini, Pengarah Komunikasi PKR negeri Perak, Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata, label marginal yang dilekatkan kepada Tambun dalam "Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier" adalah sebahagian daripada naratif politik yang cuba membentuk persepsi awam, bukannya realiti mutlak yang tidak boleh diubah.
"Sejak awal, Tambun sememangnya bukan kerusi mudah. Ia pernah dimenangi oleh tokoh besar negeri, manakala Anwar pula hadir sebagai calon luar. Ramai melihat keputusan itu sebagai langkah berisiko tinggi. Namun kita memilih untuk membaca realiti politik dengan cara yang berbeza.
"Kita tidak melihat Tambun sebagai kerusi yang perlu dielakkan. Kita melihatnya sebagai medan untuk mengubah arus politik. Kita memilih untuk mencabar calon 'favourite' ketika itu (Peja) di gelanggang yang dianggap kubu kuat mereka sendiri.
"Gelombang Hijau (sokongan kepada PAS) di utara memang kuat ketika itu. Banyak kubu tumbang. Namun Tambun membuktikan bahawa gelombang bukan segala-galanya.
"Tambun yang kelabu ketika itu, kita berjaya 'putihkan' dengan kemenangan. Sebab itu, apabila hari ini ada yang melabel Tambun sebagai “marginal”, kita perlu memahami bahawa itu juga sebahagian daripada percaturan naratif politik. Politik bukan sahaja tentang realiti semasa, tetapi juga tentang siapa yang berjaya mendefinisikan realiti tersebut di mata rakyat," katanya.
Dia berkata demikian bagi mengulas laporan Malaysiakini yang memetik analisis strategik yang mana kerusi parlimen Tambun yang disandang oleh perdana menteri diklasifikasikan sebagai kawasan "Tier 2B" atau kerusi marginal.
Analisis strategik PKR untuk PRU16 yang diterbitkan semalam turun menekankan bahawa selagi sentimen terhadap kepimpinan Anwar kekal positif dan rakyat terus disantuni, label "marginal" tidak akan menjadi penentu mutlak kemenangan di Tambun.
Menurut Safwan strategi PKR untuk PRU16 bukan untuk mengelak kerusi yang sukar, sebaliknya menjadikan Tambun sebagai medan mengubah arus politik sama seperti pendekatan yang digunakan ketika PRU15 dahulu.
"Kita juga perlu sedar bahawa analisa ini dibuat berdasarkan pola undi terdahulu dan simulasi pertandingan dua atau tiga penjuru. Ia belum lagi mengambil kira dinamika semasa, perubahan sentimen, prestasi kepimpinan, serta sokongan akar umbi yang sentiasa bergerak.
"Dalam politik istilah "Tambun kini marginal" bukan sekadar angka atau statistik. Ia juga sebahagian daripada naratif yang cuba membentuk persepsi awam.
"Justeru itu, jawapan kita bukan dengan menolak analisa secara emosional, tetapi dengan mengatasi naratif tersebut melalui prestasi dan kerja nyata. Kita perlu terus membina keyakinan rakyat melalui kehadiran yang konsisten, penyelesaian kepada masalah mereka, dan hubungan yang kukuh di akar umbi," katanya.
Tambahnya, politik bukan tentang siapa yang paling kuat mencipta persepsi, tetapi siapa yang mampu menukarkan harapan rakyat menjadi kenyataan.
Pada PRU15, Anwar memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,735 undi dalam pertembungan sengit menentang Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.
