Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun memberi isyarat kepada rakyat negeri ini untuk bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) mengejut.

Aminuddin memberi bayangan itu susulan tindakan 14 Adun Umno yang dilihat masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dicapai dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

"Saya mahu rakyat Negeri Sembilan, penduduk negeri ini bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

"Mereka (Umno) tak puas hati. Hari ini kenyataan demi kenyataan. Seolah-olah kita terpaksa menerima.

"Tetapi kita juga manusia, saya juga manusia, saya juga rasa tercalar," katanya ketika berucap pada ceramah perdana Pakatan Harapan (PH) di Seremban malam ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Ratusan penyokong PH hadir ke ceramah yang berlangsung di perkarangan Stadium Tunku Abdul Rahman seawal jam 8 malam. Turut hadir ialah pemimpin peringkat negeri.

Ceramah tersebut diadakan susulan krisis kepimpinan Negeri Sembilan yang setakat ini berakhir dengan komitmen baru antara kepimpinan pusat PH dan BN untuk terus menyokong pentadbiran Aminuddin.

Sebahagian hadirin dilihat memakai pakaian berwarna parti masing-masing, termasuk kemeja-T PKR berwarna biru putih dengan tulisan “Team Tok Min” berwarna hitam di bahagian belakang.

Terdahulu hari ini, Umno Negeri Sembilan menegaskan akan terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan, namun pada masa sama mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap menteri besar.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor, berkata ketetapan untuk mengekalkan kerjasama itu dibuat demi menjamin kesejahteraan rakyat serta mengutamakan kepentingan negeri.

“(Namun) kami kekal hilang kepercayaan kepada menteri besar di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun ucapan pemimpin lain dari PH malam ini dilihat lebih berhati-hati bagi meredakan situasi politik di negeri Adat Perpatih itu.

Saifuddin dalam ucapannya berkata, kesepakatan yang dicapai dalam mesyuarat antara PH dan Umno semalam adalah langkah yang baik demi mempertahankan kerajaan perpaduan.

Katanya, keputusan itu dibuat berasaskan kepercayaan dan rasa hormat antara satu sama lain.

Anthony pula menyifatkan krisis politik di Negeri Sembilan telah diselesaikan dengan mengekalkan kesepakatan antara pemimpin utama PH dan Umno, serta memastikan Aminuddin terus menerajui kerajaan negeri.

Katanya, perkara paling penting ketika berdepan kemelut sedemikian ialah memberikan penjelasan dan tidak bertindak tergesa-gesa.

"Kemelut dah selesai kerajaan negeri kekal di bawah pimpinan Aminuddin, yang paling penting kena bertenang, jangan gopoh, jangan cemas, jangan bimbang.

"Kalau kita di landasan yang betul tiada apa perlu bimbang kerajaan negeri kekal tak jatuh," katanya ketika berucap.

Sementara itu, Mohamad Sabu pula menyifatkan kemelut di Negeri Sembilan kini kembali tenang.

"Kita berkawan dengan musuh lama, ada dia tak berkenaan kepada kita...kita (juga ada) tak berkenan kepada dia. Yang penting kita selesai (kemelut) utamakan keselesaan rakyat," katanya.

Justeru, Mohamad berharap tiada lagi sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS