GLOBAL | Parti pimpinan pelakon filem yang menceburi bidang politik, Vijay, memohon mahkamah tertinggi India untuk mengarahkan gabenor negeri supaya menjemput parti itu – yang memenangi pilihan raya dewan undangan pada April lalu – untuk membentuk kerajaan baru.
Vijay muncul sebagai pencabar terkuat bagi jawatan ketua menteri selepas partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) memenangi 108 kerusi dalam dewan undangan yang mempunyai 234 ahli.
Parti yang mendapat penguasaan kedua tertinggi ialah Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) pimpinan bekas ketua menteri MK Stalin (59 kerusi) diikuti All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) (47 kerusi), sebuah parti serantau yang bersekutu dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.
Vijay bertemu gabenor Tamil Nadu, Rajendra Vishwanath Arlekar, pada petang semalam untuk menuntut hak membentuk kerajaan.
TVK kekurangan 10 kerusi lagi untuk membentuk majoriti mudah namun menerima sokongan daripada Kongres Kebangsaan India pimpinan ketua pembangkang Rahul Gandhi serta parti-parti berhaluan kiri bagi mencukupkan kekurangan jumlah berkenaan.
Seorang ahli TVK memfailkan petisyen di Mahkamah Agung bagi memohon arahan terhadap gabenor Tamil Nadu menjemput parti terbesar tunggal itu membentuk kerajaan negeri.
Stalin dalam satu hantaran di X pada Jumaat turut menyuarakan kebimbangan mengenai kelewatan pembentukan kerajaan dan menggesa gabenor supaya mengambil "tindakan segera" mengikut perlembagaan.

Jawatan gabenor negeri di India sebahagian besarnya bersifat istiadat, namun peranan tersebut boleh menjadi penting dalam pertikaian perlembagaan atau apabila pilihan raya menghasilkan dewan undangan yang tergantung.
Sementara itu, ahli dewan undangan TVK menginap di sebuah pusat peranginan mewah di Mamallapuram, kira-kira 60 kilometer dari ibu negeri Chennai, ketika gerakan politik untuk kerajaan baru diteruskan.
Ramai wakil rakyat AIADMK pula dipindahkan ke sebuah pusat peranginan di Puducherry.
Amalan mengasingkan wakil-wakil rakyat itu dikenali secara meluas di India sebagai "politik resort" iaitu parti politik cuba menghalang parti lawan memancing ahli mereka dalam situasi perebutan kuasa perundangan yang sengit.
Tamil Nadu mengadakan pilihan raya negeri pada bulan lalu bersama-sama dengan Assam, West Bengal, Kerala, dan wilayah tadbiran persekutuan Puducherry.
Pengiraan undi telah dijalankan pada 4 Mei.
- Bernama
