Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan spekulasi bahawa Amirudin Shari bakal beralih dari Gombak ke parlimen Selayang pada pilihan raya umum akan datang, walaupun terdapat petunjuk kuat menunjukkan sebaliknya.
Seorang jurucakap pejabat pejabat itu yang enggan namanya didedahkan memberitahu Malaysiakini bahawa perkara itu cuma hasrat akar umbi PKR Selayang.
"Perkara ini tidak benar. Itu hanyalah cadangan daripada cabang Selayang.
“MB komited berkhidmat kepada rakyat di Gombak dan berhasrat untuk mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum akan datang, jika dan apabila kepimpinan parti memutuskan untuk mencalonkannya," katanya ringkas.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya dua sumber dalaman parti memberitahu portal ini bahawa peninjau dari ibu pejabat PKR sudah berada di lapangan sejak sebulan lalu bagi menilai peluang Amirudin.
"Saya boleh sahkan kami telah diminta ke lapangan untuk mendapat maklum balas daripada Parlimen Selayang.
"Arahan kepada kami sangat spesifik, (iaitu) apa peluang Amirudin di Parlimen Selayang.
"Seorang pemimpin dari Putrajaya disebut mungkin akan menggantikan beliau di Gombak," dedah sumber itu tanpa menamakan pemimpin yang dimaksudkan.
Usul gagal, mesyuarat kecoh
Spekulasi mengenai perpindahan Amirudin muncul apabila satu usul rasmi dibawa dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Selayang bulan lalu mencadangkan namanya sebagai calon pilihan raya umum ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, usul itu gagal diluluskan susulan bantahan yang menyebabkan kekecohan dan perang mulut ketika mesyuarat tersebut.
Sebaliknya, mesyuarat meluluskan usul mencalonkan Adun Rawang, Chua Wei Kiat, yang juga ketua cabang Selayang, untuk bertanding di kawasan itu.
Bekas ketua Cabang Selayang, Kamarudin Hussain, mengesahkan usul menamakan Amirudin dikemukakan atas alasan bagi melakukan “perubahan dinamik” di kawasan itu.
Katanya, usul itu dibuat kerana kawasan itu memerlukan kepimpinan yang berpengalaman, berwibawa, serta mempunyai rekod pentadbiran yang kukuh.
"Faktor demografi semasa Selayang yang kini merupakan kawasan majoriti Melayu menuntut kehadiran figura besar seperti Amirudin," katanya.
Sementara itu, Chua enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan hanya menyerahkannya kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
Gombak dalam zon merah
Parlimen Selayang kini diwakili bendahari agung PKR William Leong, pemimpin veteran yang mempertahankan mandat di kawasan berkenaan sejak 2008.
Pada PRU15, dia menang dengan dengan majoriti besar 23,619 undi, menewaskan pencabar utama daripada Perikatan Nasional (PN) dan BN.
Bagaimanapun, dia dijangka tidak akan mempertahankan kerusi itu pada PRU akan datang.

Sebelum ini, laporan analisis eksklusif Malaysiakini mengenai klasifikasi kerusi PKR meletakkan Parlimen Gombak, yang disandang Amirudin, dalam kategori Tier 3 (zon merah).
Selayang pula dikategorikan sebagai satu daripada tujuh kerusi kuat PKR selain Bayan Baru, Ampang, Pandan, Subang, Petaling Jaya dan Batu.
Spekulasi pertukaran kerusi itu dikatakan sebahagian daripada berapa lagi rombakan melibatkan beberapa nama besar, termasuk desas-desus Nurul Izzah Anwar akan berpindah ke Bandar Tun Razak, menggantikan presiden pertama PKR Wan Azizah Ismail.
