Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu 2 Adun dipecat Bersatu akan dipersembah ke Sultan Kedah
Diterbitkan:  May 9, 2026 10:36 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Kedudukan dua Adun Kedah yang dipecat daripada Bersatu akan diperincikan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata sebarang tindakan berhubung perkara itu perlu melalui proses pentadbiran yang ditetapkan selain mendapat perkenan Sultan Kedah.

“Buat masa ini kedua-dua wakil rakyat terbabit menjalankan tugas seperti biasa sementara kerajaan negeri meneliti isu berkenaan sebelum menghadap Sultan Kedah bagi mempersembahkan perkembangan semasa.

“Segala tindakan perlu ikut proses pentadbiran. Kita perlu bincang secara terperinci, sembah maklum kepada Tuanku Sultan dan seterusnya menjalani proses mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sanusi berkata demikian ketika mengulas kedudukan Adun Suka Menanti merangkap Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani; serta Adun Sungai Tiang yang juga timbalan speaker dewan, Abdul Razak Khamis, yang dipecat Bersatu.

Pengerusi PN Kedah itu berkata buat masa sekarang kedua-dua wakil rakyat terbabit menjalankan tugas seperti biasa dan bertindak sebagai Adun bebas yang menyokong kerajaan negeri.

Menurut Sanusi surat daripada Bersatu yang memohon pertukaran exco dan timbalan speaker telah diterima sebelum ini, namun tiada tindakan diambil kerana kedua-dua pemimpin terbabit ketika itu masih ahli parti berkenaan.

Katanya perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali semasa program Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan dan Bersatu Kedah di Alor Setar pada 10 April lalu.

“Ketika itu kedua-dua wakil rakyat terbabit belum dikenakan tindakan oleh parti, jadi tiada sebab untuk menukar mereka dengan individu lain.

“Sekarang sudah ada surat rasmi pemecatan diterima, namun tindakan tetap tertakluk kepada prosedur pelantikan exco dan timbalan speaker,” katanya.

Semalam, Bersatu menerusi notis yang dikeluarkan pengerusi lembaga disiplin parti itu, Mohd Radzi Manan, memaklumkan Dzowahir dan Abdul Razak dipecat berkuat kuasa serta-merta.

Kedua-duanya dipecat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu kerana didakwa melanggar fasal 9.1.4 serta kod etika dan tatakelakuan ahli.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS