Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia berhasrat jadi negara pembiak anjing pengesan K9 - Nga

Malaysia berhasrat untuk menjadi negara pembiak anjing pengesan K9 di ASEAN menerusi Pusat Operasi K9 di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata hasrat itu mampu dicapai berikutan JBPM mempunyai pegawai yang hebat dan berkepakaran dalam melatih anjing pengesan.

Beliau berkata langkah itu bukan sahaja membolehkan Malaysia melahirkan ‘jaguh tempatan’, tetapi turut menjadi negara pengeksport, sekali gus menjimatkan kos yang perlu ditanggung sebelum ini bagi mendapatkan anjing pengesan K9 dari Birmingham, United Kingdom.

“Dahulu, seekor anjing pengesan terlatih dan ada waranti kepakaran diimport daripada Birmingham dengan menelan kos hampir RM150,000.

“Wawasan saya, satu hari nanti kita boleh eksport ke United Kingdom dan menjadikan pusat (Operasi K9) sebagai pusat pembiakan di ASEAN, (dengan ini) kita boleh jual kepada Singapura, Thailand, Indonesia dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026, bertemakan “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” di Plaza Angsana, di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu serta Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.

Nga berkata sudah tiba masanya Malaysia mengorak langkah menjadi negara pembiak anjing pengesan supaya tidak terus bergantung dengan negara luar, sekali gus menekankan keyakinannya terhadap kepakaran bomba dalam melatih anjing pengesan.

Terdahulu, Nga ketika berucap merasmikan karnival berkenaan berkata JBPM telah merancang untuk membangunkan Pusat Operasi K9 di Bertam, Pulau Pinang untuk melaksanakan program pembiakan domestik.

Beliau berkata pusat berkenaan ketika ini masih dalam proses reka bentuk dan perolehan tender.

Bagi tujuan itu, beliau berkata Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.4 juta bagi perolehan 16 ekor anjing pengesan baharu dari United Kingdom.

JBPM ketika ini hanya memiliki 34 ekor anjing pengesan dan masih memerlukan 56 ekor lagi bagi mencapai kapasiti operasi yang optimum.

Sementara itu, beliau berkata JBPM akan menerima 6,000 pasang Fire Resistant Suit baharu menjelang Ogos ini dan akan diserahkan secara berperingkat.

Beliau berkata perolehan itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM437.2 juta yang diluluskan kerajaan Persekutuan pada tahun ini bagi memperkasakan aset, logistik dan kebajikan anggota di seluruh negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS