Umno akan mempertimbangkan penyertaan wakil rakyat dan pemimpin Bersatu yang dipecat atau digantung sekiranya mereka memohon menyertai parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu bersikap terbuka untuk menerima penyertaan mana-mana individu, khususnya dalam kalangan orang Melayu.
“Kalau ada permohonan, kita akan pertimbangkan, kita terbuka kerana sebagai parti politik yang menaungi rumah bangsa, kita mempunyai dasar yang terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) Prihatin Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Politeknik Maritim Sultan Azlan Shah, di Bagan Datuk, hari ini.
Ahmad Zahid mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengalu-alukan wakil rakyat dan pemimpin Bersatu yang digantung atau dipecat menyertai UMNO melalui Rumah Bangsa.
Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu memecat serta menggantung keahlian beberapa wakil rakyat serta pemimpin parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Mereka yang dipecat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti yang juga Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar Dzowahir Ab Ghani, ADUN Sungai Tiang Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hulu Langat Muhammad Faiz Rahmad.
Lima Ahli Parlimen pula digantung hak-hak keahlian bagi dua penggal pemilihan parti, iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
- Bernama
