Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan mudah nak jatuhkan Rafizi, kata bekas timbalan menteri
Diterbitkan:  May 10, 2026 8:52 AM
Dikemaskini: 12:53 AM

Bekas timbalan menteri Hanipa Maidin mengingatkan musuh politik Rafizi Ramli supaya tidak memandangkan rendah terhadap keupayaan ahli parlimen Pandan itu berhubung siasatan SPRM terhadapnya.

“Adalah lebih baik untuk berhati-hati kerana Rafizi dikenali sebagai seorang yang mempunyai strategi politik yang ampuh dan mungkin masih simpan ‘beberapa kad untuk dimainkan’.

“Ramai percaya Rafizi tokoh yang sukar digugat oleh lawan politiknya.

“Oleh itu, lawannya perlu berhati-hatinya kerana beliau mungkin masih mempunyai pengaruh politik yang besar dan pelbagai strategi untuk berdepan cabaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Hanipa Maidin mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang memaklumkan dua individu dikenal pasti untuk kemungkinan didakwa berhubung siasatan terhadap perjanjian bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat UK, Arm Holdings.

Walaupun tiada nama didedahkan, timbul spekulasi bahawa Rafizi mungkin antara individu yang bakal didakwa, malah dia sendiri percaya mungkin akan dibawa ke mahkamah berhubung kes itu.

Mengulas lanjut, Hanipa berkata bukan mudah untuk mengetepikan bekas timbalan presiden PKR itu walaupun berdepan siasatan SPRM dan kemungkinan pendakwaan.

“Siasatan SPRM dan kemungkinan pertuduhan undang-undang mungkin tidak mencukupi untuk menyingkirkan Rafizi,” tambahnya.

Sasaran siasatan

Semalam, bekas ahli parlimen DAP, Ong Kian Ming, berkata Rafizi mungkin menjadi sasaran siasatan kerana kritikannya terhadap kerajaan dan SPRM.

“Saya tidak fikir Rafizi akan dipanggil oleh SPRM dan ‘diasak’ jika beliau tidak meletakkan jawatan daripada kabinet dan mula menonjolkan beberapa kelemahan dalam kerajaan semasa, khususnya berkaitan isu melibatkan SPRM sendiri, terutama ketua pesuruhjayanya.

“Perjanjian Arm (Holdings) itu mungkin bukan rundingan terbaik dalam sejarah Malaysia, tetapi saya tidak fikir sama ada Rafizi atau bekas pegawai khasnya, James Chai, menerima sebarang manfaat kewangan hasil daripada pemeteraian perjanjian Arm dengan kerajaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS