Pemuda Pakatan Harapan (PH) membidas cadangan Pemuda Umno untuk menarik balik subsidi minyak bagi golongan T20, sambil mengingatkan mereka mengenai skandal rasuah 1MDB melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Ketua Pemuda PH, Woo Kah Leong berkata, tindakan menyalahkan golongan tertentu tidak akan menyelesaikan masalah.
“Semua lapisan masyarakat, khususnya golongan yang lebih berkemampuan, selama ini tidak pernah membantah membayar cukai untuk pembangunan negara.
“Subsidi memang perlu dikurangkan secara berperingkat, tetapi bukan dengan pendekatan yang memburukkan golongan tertentu,” katanya.
Adun Pasir Bedamar itu berkata semua golongan kini berdepan tekanan, terutama mereka yang perlu membayar gaji pekerja dan menanggung kos operasi yang tinggi.
“Jika tidak mampu menunjukkan empati, jangan ambil kesempatan terhadap keadaan ini,” tambahnya.

Merujuk secara tidak langsung kepada Najib, pemimpin DAP itu berkata, jika bukan kerana skandal rasuah melibatkan bekas perdana menteri itu, kerajaan tidak perlu menanggung hutang berbilion ringgit.
Dia turut mendakwa Umno tidak pernah menunjukkan rasa kesal terhadap perkara itu, sebaliknya terus membuat tuntutan secara terbuka.
Woo juga mengingatkan Umno bahawa parti itu telah ditolak majoriti rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018.
“Masukkan sahaja cadangan itu (menarik balik subsidi minyak secara menyeluruh) dalam manifesto parti pada pilihan raya umum akan datang. Nyatakan secara jelas supaya rakyat boleh membuat pilihan dengan maklumat yang tepat,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh berkata sayap itu akan membawa usul ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno supaya subsidi minyak ditarik balik bagi golongan T20.
Menurutnya, sistem subsidi yang lebih bersasar membolehkan kerajaan menyalurkan semula penjimatan kepada golongan berpendapatan rendah yang lebih memerlukan bantuan.
“Subsidi dinikmati golongan berpendapatan tinggi tidak memberi kesan besar kepada mereka berbanding manfaat yang boleh dirasai kumpulan berpendapatan rendah.
“Jadi, lebih elok ambil subsidi yang T20 ini diberikan kepada B40 dan juga M40. Sebab kalau kata 200 liter kita akan belanjakan dalam RM200 hingga RM400 itu tak terasa bagi golongan T20.Tapi kalau RM200 hingga RM400 ini sangat memberikan kesan kepada B40 dan M40,” katanya dalam sidang akhbar selepas Rimbun 2.0 anjuran sayap itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
