Bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Edmund Teoh Kheng Yaik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu dan menerima rasuah membabitkan projek pembekalan Papan Pintar Interaktif untuk sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Seputeh.
Teoh, 40, didakwa memperdayakan Teresa sekitar Jun 2024 sehingga mendorong Ahli Parlimen itu mempercayai bahawa hanya dua sekolah di parlimen berkenaan memohon sumbangan papan pintar interaktif sedangkan tertuduh tahu terdapat 16 sekolah yang memohon.
Tindakan tertuduh itu didakwa mendorong Kok memberikan persetujuan bagi permohonan sumbangan melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh, di mana dia tidak akan memberikan persetujuan itu sekiranya tidak diperdayakan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Teoh didakwa menerima suapan RM500,000 daripada seorang individu bernama Ainuddin Aminuddin pada 12 Ogos 2024 di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Jalan Kuchai Maju.
Wang tersebut didakwa diterima sebagai balasan untuk membantu mendapatkan sumbangan bagi pembekalan Papan Pintar Interaktif kepada 16 sekolah di kawasan Parlimen Seputeh menerusi syarikat TMT IT Solutions milik isterinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Teoh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzanna Hussain.
Timbalan Pendakwa Raya, Juliana Jamaluddin memohon mahkamah menetapkan jaminan RM150,000 selain syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Peguam Teoh, MN Low pula memaklumkan anak guamnya kini bekerja sebagai penghantar bungkusan dengan pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan serta memohon jaminan dikurangkan kepada RM30,000.
Mahkamah kemudian membenarkan Teoh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan syarat pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 3 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Pada Mac tahun lalu, Kok yang ketika itu Naib Pengerusi DAP memaklumkan SPRM menahan dua bekas kakitangannya, termasuk Teoh. Sebelum itu, Teoh bertugas di pusat khidmat Teresa sebelum meletakkan jawatan pada 2024.
Teoh kemudian meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Publisiti DAP Wilayah Persekutuan selepas disiasat SPRM atas dakwaan menerima rasuah berkaitan pembekalan Papan Pintar Interaktif untuk beberapa sekolah di Kuala Lumpur.
