Umno menerima isyarat positif apabila semakin banyak golongan muda memilih menyertai perjuangan parti itu menerusi kemudahan pendaftaran keahlian secara dalam talian, kata Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata trend itu membuktikan Umno yang kini mencecah usia 80 tahun terus bergerak seiring peredaran zaman dan kekal diyakini sebagai wadah penting dalam mempertahankan kestabilan serta masa depan negara.
“Sebagai Presiden Umno, antara perkara yang paling menggembirakan saya adalah melihat semakin banyak anak muda memilih untuk bersama Umno melalui pendaftaran keahlian secara dalam talian,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan ulang tahun Umno ke-80 di Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata meskipun parti itu telah melalui pelbagai fasa jatuh dan bangun merentasi lapan dekad, kekuatan sebenar Umno bukan terletak pada namanya semata-mata, sebaliknya pada kesetiaan akar umbi.
“Kami pernah diuji dengan cabaran politik, perpecahan, persepsi dan perubahan zaman. Namun Umno terus berdiri kerana kekuatannya terletak pada jiwa perjuangan ahli-ahlinya yang tetap setia mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Beliau berkata kelangsungan perjuangan parti itu memerlukan semangat kebersamaan yang tinggi bagi memastikan setiap kelemahan dapat diperbetulkan demi kepentingan generasi akan datang.
Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada ribuan ahli yang hadir memeriahkan Sambutan 80 Tahun Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai tanda memperkukuh tekad perjuangan parti.
- Bernama
