mk-logo
Berita
Demo PAS: PKR Hulu Selangor sedia medik, ambulans
Diterbitkan:  May 13, 2026 8:48 AM
Dikemaskini: 12:48 AM

PKR cabang Hulu Selangor akan menyediakan perkhidmatan medik dan ambulans kepada peserta Himpunan Daulat Tuanku Sabtu ini atas dasar kemanusiaan tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Ketuanya Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata langkah itu diambil sebagai persediaan sokongan keselamatan dan bantuan kecemasan kepada orang awam yang menghadiri himpunan berkenaan.

"Perbezaan pandangan politik tidak sewajarnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak menafikan hak bersuara, selagi ia dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak menjejaskan keamanan awam.

"Kami percaya bahawa hak bersuara adalah dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia dan perkara ini selari dengan dasar yang didukung oleh PKR yang mengangkat agenda reformasi sebagai teras perjuangan," katanya pada kenyataan media.

Dia berkata demikian ketika mengulas penganjuran Himpunan Daulat Tuanku yang dijadual berlangsung pada 16 Mei.

Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor menyambut baik demonstrasi Pemuda PAS di Shah Alam dan memaklumkan akan meminta polis membantu melancarkan perjalanan himpunan selain menyediakan makanan dan minuman kepada peserta.

https://www.malaysiakini.com/news/774928

Mengulas lanjut, Sathia yang juga pengasas rangkaian kumpulan SP Care berkata himpunan itu perlu dilihat dalam kerangka demokrasi matang yang memberi ruang kepada rakyat berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, tertib serta mematuhi undang-undang.

"Menjunjung institusi Diraja bukan sekadar ungkapan politik atau slogan bermusim, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui sikap saling menghormati, menjaga keharmonian serta memastikan suasana masyarakat kekal aman dan terkawal.

"SP Care berpandangan bahawa demokrasi yang matang bukan hanya diukur melalui kebebasan bersuara, tetapi juga melalui keupayaan semua pihak menjaga ketertiban, mengelakkan provokasi dan memastikan tiada perkara yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS